Bubar GISBH jika ada bukti jelas menyeleweng
SHAH ALAM - Kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) perlu dibubarkan jika ada bukti jelas yang menunjukkan kepercayaan dan ajaran organisasi itu mengandungi unsur menyeleweng.
Penyelaras Akidah and Global Outreach Centre Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Ahmad Najaa’ Mokhtar berkata, penemuan buku berkaitan ajaran bawaan GISBH oleh pihak berkuasa menunjukkan ada perkara yang meragukan dan membahayakan tentang organisasi tersebut.
Menurutnya, tindakan terhadap GISBH yang dikatakan kelahiran semula Al-Arqam juga sebenarnya sudah dijangka kerana gerakan berkenaan sudah sebati dengan jiwa kebanyakan mereka walaupun telah bertaubat beramai-ramai pada 2013.
“Nama mungkin bertukar tapi bagi sebahagian pengikut Al-Arqam, gerakan itu tetap sebati dengan jiwa mereka. Sebagai contoh, pihak berkuasa menemui buku dan gambar Ashaari Muhammad (pengasas Al-Arqam), menunjukkan mereka tidak boleh dipisahkan.
“Perkara yang lebih bahaya lagi ialah mereka ini dikaitkan dengan amalan yang mempunyai unsur spiritual.
“Islam apa yang diperjuangkan sedangkan mereka mengetepikan Islam sebenar. Kumpulan ini mendakwa berjuang atau berdakwah dalam bentuk ekonomi tapi mana boleh pisahkan ekonomi dengan akidah kita dengan orang sekeliling,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang beberapa risalah mengandungi elemen dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam serta barang khurafat dirampas dalam serbuan di premis berkaitan GISBH di seluruh Semenanjung Malaysia.
Ditanya tentang perniagaan yang dijalankan oleh organisasi itu, Ahmad Najaa’ menjelaskan, walaupun ia nampak berjaya, namun cara dan pendekatan yang dibuat itu adalah salah.
“Berdasarkan laporan, ada anggotanya yang bekerja tanpa dibayar gaji. Maksudnya, mengambil kesempatan kepada ahli.
“Jadi bagi saya, macam mana sekalipun hasil yang diperoleh, matlamat dan ekonomi yang mereka nak capai itu walaupun nampak bagus tapi tidak menghalalkan cara. Ia tetap salah walaupun hasilnya baik.
“Bukan nak kata mereka tak bagus tapi menggunakan cara yang tidak betul, kemudian tidak bahagikan hasil atau kemewahan itu kepada ahlinya. Malah, mereka menakutkan ahli dan terdapat unsur monopoli dan eksploitasi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!