Sukan menyatukan

Penyokong Malaysia yang hadir beri sokongan menentang pasukan Lubnan pada perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka Kuala Lumpur 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini. Foto Bernama
Penyokong Malaysia yang hadir beri sokongan menentang pasukan Lubnan pada perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka Kuala Lumpur 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini. Foto Bernama
A
A
A

"SUKAN itu menyatukan, politik pula pemecah belah." Saya tidak tahu sejauh mana benarnya kata-kata cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit. Saya tiada pengalaman dicubit paha, disentuh-sentuh memang ada. Beberapa kali.

Sebagai orang politik, saya terkesan dengan kata-kata dilontarkan seseorang dalam grup WhatsApp kami itu. Kata-kata yang disokong ramai orang kecuali saya. Saya pula bukanlah tidak bersetuju tetapi saya selalu percaya jika semua orang berkata ‘ya’ kepada semua perkara, akhirnya tradisi ilmu untuk digali dan berkembang dengan sendirinya akan mati.

Saya mulakan kisah ini dari awal. Seseorang dalam kumpulan WhatsApp kami begitu teruja dengan kejayaan beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei mencipta sensasi menjuarai badminton Terbuka China.

Semua orang berhak teruja, apatah lagi kerana Izzuddin-Sze Fei menamatkan kemarau 35 tahun Malaysia. Kemenangan kali terakhir dilakar oleh Datuk Seri Jalani Sidek-Datuk Razif pada edisi 1989.

Sembang kami menjadi lebih menarik apabila seseorang menyatakan betapa bangga melihat seorang anak Melayu dan seorang anak Cina bergandingan dalam perjuangan memartabatkan nama negara. Kemudian keluarlah pula nama Pearly Tan-M Thinaah, jaguh beregu wanita negara yang dilihat sebagai satu lagi lambang perpaduan.

Ia kemudian meleret kepada kisah-kisah lama — bagaimana skuad bola sepak negara suatu masa dahulu diwakili pemain berbilang kaum yang mencerminkan wajah Malaysia. Misalnya, skuad 1970-an yang dibarisi A Arumugam, Soh Chin Aun, Namat Abdullah, M Chandran, Mokhtar Dahari dan ramai lagi.

Demikian juga skuad hoki negara pada zaman kemuncaknya, ketika menduduki tempat keempat pada Kejohanan Piala Dunia 1975 — ada Khairuddin Zainal, Mohd Azraai Mohd Zain, Poon Fook Loke, Sri Shanmuganthan, Brian Sta Maria — sekadar menyebut beberapa nama.

Dalam badminton suatu masa dahulu ada P Gunalan, Tan Aik Huang, Tan Aik Muang, Ng Boon Bee, Abdul Rahman Mohamad - lengkap wajah Malaysianya, disusuli era James Selvaraj, Foo Kok Keong, Datuk Misbun Sidek dan adik beradiknya.

Artikel Berkaitan:

“Seronok lihat pemain berbilang bangsa berjuang dengan penonton yang berbilang bangsa juga. Waktu itu betul-betul rasa bangga jadi rakyat Malaysia,” tulis seorang ahli grup.

“Malangnya dalam dunia ini ada pula orang politik dan merekalah yang menjadi makhluk perosaknya,” kata seorang yang lain. Dan kata-kata itulah menyebabkan telinga saya mula berasap.

Lagi sekali saya tegaskan, saya bersetuju dengan sebahagian pendapat itu. Memang sukan menyatupadukan orang. Apabila Jesse Owens memenangi empat pingat emas di Olimpik Berlin 1936, seluruh Amerika Syarikat (AS) seolah-olah lupa dia seorang atlet kulit hitam, kaum yang ketika itu masih didiskriminasi banyak pihak di negara Uncle Sam itu.

Diplomasi Ping Pong pada 1970-an juga bukti sukan boleh menjadi jambatan perpaduan kepada AS dan China — pada waktu itu berada dalam jebak Perang Dingin. Bermula dengan pasukan ping pong AS yang dijemput melawat China pada 1971 — ketegangan hubungan antara dua negara menjadi kendur.

Jadi, secara umumnya sukan boleh menjadi platform untuk orang daripada latar belakang berbeza datang dan bersorak untuk pasukan sama.

Namun, jangan lupa, sukan juga ada ketikanya membuatkan manusia berpecah, contohnya kerana ketaasuban berlebihan terhadap sesebuah pasukan. Jangan ingat selepas bersukan semua orang akan berpeluk-peluk kerana ada ketikanya mereka juga bertumbuk-tumbuk.

Dan jangan juga lupa dalam sukan itu sendiri ada politiknya. Ada korupsi, skandal, perkauman, diskriminasi, isu hak asasi, ada beli game, ada doping dan bermacam lagi. Sebab itu sangatlah tidak tepat jika menyalahkan politik semata-mata sebagai punca perpecahan.

Perpaduan yang sebenar, yang sakral sebetulnya hanyalah utopia. Ia tidak boleh berlaku kerana dalam dunia sebenar, kita tak boleh satu kepala. Dalam kumpulan WhatsApp budak sekolah pun berbeza pendapat, inikan pula dalam satu dunia dengan lebih tujuh bilion penduduk.

Kita boleh bercakap tentang satu suara, satu hati tetapi hakikatnya dalam hati semua orang masih ada syak wasangka, prejudis dan ketidakpuasan hati. Kita kena juga akui hakikat sistem hidup ini tidak pernah dibuat untuk perpaduan.

Kita diberi peluang yang sama untuk berlumba. Ertinya akan ada yang menang dan kalah. Maknanya kita hidup dalam dunia — kejayaan seseorang kadang-kadang hanya wujud sebab kegagalan orang lain. Yang berjaya gembira, yang gagal bagaimana?

Dalam keadaan manusia berbeza dan berpecah-pecah inilah politik menjadi penyelamat. Politik tidak menyatukan semua orang tetapi ia menyatukan kumpulan orang senasib atau sealiran.

Hakikat ini yang kita kena faham. Jangan berangan mengharapkan perpaduan di luar logik. Ia tidak wujud. Yang wujud adalah meminumkan perpecahan. Dan untuk melakukannya tidak susah, apabila ada yang menghulurkan tangan sila sambut dengan tangan juga, bukannya dengan kaki. #dush

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!