Hidup mewah tapi hutang PTPTN belum langsai

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SERAMAI 430,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilaporkan tidak melakukan sebarangan bayaran semula dan ia merupakan situasi yang tidak sepatutnya terjadi.

Kebanyakan peminjam sudah mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap tetapi memilih untuk tidak menyelesaikan hutang kerana mempunyai komitmen 'lebih penting' untuk dibayar.

Salah satu faktor yang mendorong kepada situasi ini adalah amalan gaya hidup mewah atau terpengaruh dengan keadaan sekeliling.

Tindakan tidak membayar hutang ini boleh memberi kesan negatif kepada sistem pendidikan dan membebankan pembayar cukai yang lain.

Sebelum ini media melaporkan, Kementerian Pendidikan Tinggi sedang mempertimbangkan beberapa tindakan termasuk berkaitan undang-undang terhadap peminjam PTPTN yang langsung tidak membayar semula pinjaman mereka sebelum ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sehingga kini seramai 430,000 peminjam yang masih gagal dikesan belum membayar balik pinjaman tersebut.

Menurut beliau, perkara itu amat serius kerana melibatkan jumlah yang besar iaitu sebanyak RM6 bilion.

Ujarnya, jumlah berkenaan tidak merujuk kepada individu yang sedang membayar atau lari dan kurang bayar sekejap.

Artikel Berkaitan:

Namun, golongan yang dimaksudkan ialah mereka yang langsung tidak melakukan sebarang bayaran sejak hari pertama sehingga kini.

Situasi ini juga mungkin terjadi disebabkan persepsi negatif terhadap tanggungjawab membayar hutang dengan beranggapan bahawa kerajaan atau institusi pendidikan seharusnya menanggung kos pendidikan.

Selain itu, peminjam juga cuba merasionalisasi tindakan itu dengan beranggapan bahawa mereka tidak mampu membayar atau berpendapat bahawa sistem pendidikan tidak memberikan pulangan yang setimpal.

Walau apa pun alasan yang diberikan, tetapi sebagai peminjam anda perlu segera melangsaikan hutang sebelum ia memberi kesan kepada diri di kemudian hari.

Selesaikan dahulu apa yang penting, utamakan keperluan dan bukan kehendak.

Anda merupakan penentu untuk diri sendiri, tepuk dada tanyalah selera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!