5 institusi penyelidikan bentang tujuh tajuk tingkat sistem tatakelola negara

Idris Zaharudin. Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ketiga di Bangi, Selangor bermula Khamis.
Idris Zaharudin. Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ketiga di Bangi, Selangor bermula Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak tujuh tajuk penyelidikan akan dibentangkan dalam penganjuran Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ketiga di Bangi, Selangor bermula Khamis.

Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Idris Zaharudin berkata, bertemakan 'Mendepani Ancaman Rasuah: Pembanterasan Secara Kolektif', pembentangan tajuk itu akan dilakukan oleh lima institusi penyelidikan iaitu daripada Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Beliau berkata, persidangan itu merupakan platform terbaik bagi perancang dasar dan pemain-pemain industri dalam menilai, merancang serta mengambil tindakan bersesuaian dalam membina negara dengan tatakelola mantap, bebas rasuah dan makmur.

Kata beliau, penganjuran itu membolehkan satu perkongsian dapatan penyelidikan dalam konteks governans, integriti dan antirasuah, selain membincangkan isu semasa berkaitan risiko rasuah, pelanggaran integriti serta kelemahan tatakelola yang boleh ditambah baik.

"Persidangan ini bukan sekadar persidangan biasa, tetapi ia merupakan suatu platform penyampaian secara terbuka kepada semua pemegang taruh yang berkaitan dengan tajuk-tajuk dibentangkan untuk mereka mengambil cakna sekiranya terdapat syor penambahbaikan yang berguna untuk diterapkan di agensi masing-masing.

"Malahan sehingga kini, tiada persidangan seumpama ini dilaksanakan oleh mana-mana agensi untuk menunjukkan secara telus bahawa penyelidikan yang dilaksanakan secara kerjasama antara SPRM dan institusi penyelidikan memberikan keyakinan yang tinggi.

"Ini kerana kajian yang dilaksanakan bukan sekadar persepsi semata-mata tetapi merupakan kajian lapangan bersama responden serta menggunakan metodologi tertentu hingga kajian ini ditafsirkan sebagai kajian yang sah dan dipercayai," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Idris berkata, berdasarkan dapatan dan syor hasil penyelidikan yang telah dibentangkan dalam dua siri persidangan sebelum ini, terdapat 18 syor telah diangkat ke platform Jawatankuasa Khas Kabinet TataKelola Nasional (JKKTN).

Artikel Berkaitan:

Malah menurutnya, terdapat tujuh syor daripada 18 kertas penyelidikan yang telah dibentangkan pada 2022 dan 2023 telah diangkat menjadi substrategi di dalam dokumen Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

Oleh yang demikian katanya, hasrat dan objektif asal pemberian geran kepada institusi-institusi penyelidikan telah mencapai matlamat dalam menambah baik dan mencadangkan pembaharuan dalam pembangunan dasar negara sama ada dalam aspek perundangan, penyampaian perkhidmatan dan berkaitan dengannya.

Beliau berkata, pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam mempertingkat kawalan dalaman organisasi dengan mengurangkan risiko rasuah dalam penyampaian perkhidmatan dan memastikan matlamat penyampaian perkhidmatan tersebut tercapai.

Tambahnya lagi, ia memberi manfaat bukan saja kepada penerima sasaran tetapi juga seluruh masyarakat tanpa terpalit dengan isu ketirisan dan penyelewengan.

"Hasil dapatan penyelidikan yang dicadangkan dalam kertas penyelidikan seterusnya akan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi untuk dipertimbangkan dalam pembuatan dasar negara.

"Ini melibatkan aspek governans, integriti dan antirasuah contohnya melalui platform Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) dan Jawatankuasa Tatakelola Nasional (JTK) Peringkat Kebangsaan," ujarnya.

Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah kali pertama diadakan di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA Sepang pada Mac 2022 dan kali kedua pada September 2023.

Persidangan penyelidikan tahunan itu menjadi agenda tahunan yang dilaksanakan oleh SPRM dan impaknya mendapat kepercayaan serta keyakinan tinggi daripada pihak Kementerian Kewangan dalam meluluskan peruntukan kewangan dan pemberian geran kepada para penyelidik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!