Guardiola sahkan City ketepikan Rodri
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola mengesahkan pemain tengah, Rodri akan diketepikan untuk satu tempoh masa yang lama sementara penyandang juara Liga Perdana Inggeris itu menunggu pengesahan mengenai tahap kecederaan lutut pemain Sepanyol tersebut.
Pemain Sepanyol berusia 28 tahun sebelum itu terkial-kial keluar dari padang pada separuh masa pertama ketika City seri 2-2 menentang Arsenal dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris dengan dibimbangi kecederaan ACL penghujung musim.
Susulan kemenangan 2-1 pasukannya ke atas Watford dalam aksi Piala Liga di Stadium Etihad, Guardiola berkata, dia masih tidak mengetahui diagnosis tepat Rodri.
“Masih kami tidak mempunyai diagnosis yang muktamad tetapi dia akan diketepikan untuk masa yang lama, untuk sementara waktu.
"Ada beberapa pendapat yang mungkin kurang daripada yang kami jangkakan. Sekarang ini saya tidak boleh memberitahu anda.
"Kami sedang menunggu laporan terakhir daripada doktor. Apa yang dia ada dan jenis pembedahan yang perlu dia lakukan.
"Kami jangka malam ini atau esok kami akan tahu sepenuhnya,” kata Guardiola.
Rodri, yang dinamakan pemain terbaik di pentas Euro 2024, yang dimenanginya bersama Sepanyol, menjadi kunci kejayaan Guardiola menerajui juara Liga Perdana Inggeris.
Sejak menyertai City dari Atletico Madrid pada 2019, Rodri bermain 174 perlawanan Liga Perdana Inggeris untuk kelab itu.
Sementara itu, Guardiola berkata, City akan mencari penyelesaian terbaik sekiranya Rodri tidak boleh beraksi untuk satu tempoh yang lama.
“Apabila sesebuah pasukan tidak bermain dengan pemain tengah terbaik di dunia untuk masa yang lama, ia adalah satu tamparan hebat.
"Saya akan cari penyelesaian. Ada alternatif, kami akan lakukannya.
"Apabila anda mempunyai seorang pemain yang tidak boleh bermain, sebagai satu pasukan kami perlu mencari penyelesaian,” kata Guardiola.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!