PRK Mahkota: Semua kaunter di CIQ dibuka mudahkan pengundi pulang

Semua kaunter di dua pintu masuk negara di Tambak Johor dan Linkedua akan dibuka bagi memudahkan pengundi PRK Mahkota pulang mengundi pada Sabtu ini. Gambar kecil: Onn Hafiz
Semua kaunter di dua pintu masuk negara di Tambak Johor dan Linkedua akan dibuka bagi memudahkan pengundi PRK Mahkota pulang mengundi pada Sabtu ini. Gambar kecil: Onn Hafiz
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kesemua kaunter di dua pintu masuk negara di Tambak Johor dan Linkedua akan dibuka sepenuhnya bagi memudahkan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota yang bekerja atau tinggal di Singapura pulang mengundi pada Sabtu ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri komited memastikan urusan pengundi yang hendak pulang dipermudahkan di pintu masuk negara.

"Saya sudah berhubung dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk pastikan kaunter di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri beroperasi pada tahap maksimum bermula pada Jumaat ini.

"Ia penting bagi memudahkan pengundi DUN Mahkota pulang menjalankan tanggungjawab mereka pada Sabtu ini," katanya di kediaman rasmi Menteri Besar Johor di Saujana.

Dalam pada itu, Onn Hafiz merayu kepada pengundi pulang ke DUN Mahkota bagi menjalankan tanggungjawab mengundi pada Sabtu ini.

"Saya seru kepada pengundi di luar terutama yang bekerja di Singapura, pulang ke Mahkota untuk mengundi. Ini kerana undi anda cukup penting untuk suburkan demokrasi.

"Dalam masa yang sama banyak telah dibuat kerajaan negeri dibantu kerajaan Pusat untuk memudahkan anak-anak Johor yang bekerja di Singapura.

"Saya minta supaya Sabtu ini, turunlah ke DUN Mahkota, pulanglah sebentar untuk menunjukkan solidariti kita terhadap usaha yang telah dibuat selama ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

PRK Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional, Syed Hussien Syed Abdullah dengan Perikatan Nasional, Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

DUN Mahkota yang terletak di dalam Parlimen Kluang memiliki keseluruhan 66,318 pengundi berdaftar, dengan 20 pusat mengundi biasa akan dibuka pada Sabtu ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!