Lima kanak-kanak didakwa mangsa GISBH dirawat di HOSHAS

Lima kanak-kanak yang ditemui dalam serbuan dua premis rumah kebajikan dipercayai di bawah kelolaan GISBH kini menerima rawatan di HOSHAS di Temerloh. Gambar kecil: Razali
Lima kanak-kanak yang ditemui dalam serbuan dua premis rumah kebajikan dipercayai di bawah kelolaan GISBH kini menerima rawatan di HOSHAS di Temerloh. Gambar kecil: Razali
A
A
A

KUANTAN - Lima kanak-kanak yang ditemui dalam serbuan dua premis rumah kebajikan dipercayai di bawah kelolaan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh.

Perkara itu dimaklumkan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Razali Kassim ketika dihubungi pada Rabu.

Beliau berkata, kesemua kanak-kanak berusia antara empat hingga 12 tahun itu telah dirujuk sebagai kes pencegahan penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak (SCAN).

"Pemeriksaan dibuat terhadap kanak-kanak itu bagi menjurus keadaan siasatan dan ia berkemungkinan berkait dengan kes pengabaian dan penderaan.

"Pemeriksaan awal pihak HOSHAS mendapati terdapat kesan parut lecur lama dan lebam pada badan kanak-kanak tersebut," katanya.

Razali memaklumkan, pihak HOSHAS turut mengenal pasti simptom dan tanda-tanda kekurangan zat makanan dan kekurangan berat badan kanak-kanak terbabit, selain siasatan terhadap kecederaan fizikal.

Di samping itu, ujar beliau, pihak kaunselor turut mengadakan sesi perjumpaan awal bersama mangsa.

"Saya difaham mereka akan menjalani intervensi yang sesuai berdasarkan penilaian pihak kaunselor dan JKSP (Jabatan Kerja Sosial Perubatan) HOSHAS selain dipantau oleh pihak JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat)," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai serbuan premis berkenaan, Razali menjelaskan, terdapat dua lokasi iaitu di Taman Bukit Semantan dan Kampung Paya Pulai Tengah di Temerloh.

Katanya, tiga kanak-kanak perempuan ditemui dari premis di Taman Bukit Semantan yang merupakan adik-beradik kandung.

"Mereka ini berusia 12, 10, dan sembilan tahun, namun tiada pengenalan diri ditemui bersama mereka semasa serbuan dilaksanakan oleh pihak polis," jelasnya.

Beliau menambah, serbuan di sebuah lagi premis di Kampung Paya Pulai Tengah menemukan dua kanak-kanak lelaki berusia enam dan empat tahun.

"Mereka adalah adik-beradik kandung dan mempunyai nombor pengenalan diri berdasarkan laporan polis,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!