Pimpinan GISBH antara 10 individu dibawa untuk proses sambung reman

Anggota polis melakukan kawalan ketat sekitar Kompleks Mahkamah Shah Alam ketika 10 individu termasuk Pengerusi GISBH dibawa untuk proses sambung reman pada Rabu.
Anggota polis melakukan kawalan ketat sekitar Kompleks Mahkamah Shah Alam ketika 10 individu termasuk Pengerusi GISBH dibawa untuk proses sambung reman pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan isteri antara 10 individu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam bagi proses sambung reman yang dijalankan pada Rabu.

Beberapa anggota polis lengkap bersenjata dari pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dilihat mengawal kesemua suspek ketika diiringi menuju ke kawasan Mahkamah Majistret di sini.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 19 individu direman bagi membantu siasatan berhubung tindakan mengeksploitasi dan pemerdagangan kanak-kanak.

Perintah reman selama tujuh hari dikeluarkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin terhadap kesemua suspek berusia 25 hingga 65 tahun.

Mereka yang direman terdiri daripada 12 lelaki dan tujuh wanita termasuk dipercayai anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad.

Pada prosiding tersebut, kesemua suspek tidak diwakili peguam dan permohonan reman dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesemua yang direman kemudiannya dibawa untuk tahanan di lokap berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan penahanan kesemua suspek dalam serbuan di sekitar Lembah Klang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!