Hina mana-mana kaum tak selesai masalah - Mat Sabu

Mohamad ketika berucap pada Majlis Kebudayaan Mahkota di Kampung Masjid Lama, Kluang pada Selasa.
Mohamad ketika berucap pada Majlis Kebudayaan Mahkota di Kampung Masjid Lama, Kluang pada Selasa.
A
A
A

KLUANG - Penghinaan terhadap mana-mana kaum di negara ini tidak akan menyelesaikan masalah, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu.

Ini kerana tegas beliau, semua kaum di Malaysia bertanggungjawab menyumbang kepada pembangunan negara.

Justeru, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu mengingatkan supaya semua kaum menjaga hubungan baik dan saling menghormati bagi mencipta Malaysia yang lebih stabil dan harmoni.

"Hidup kita (harus saling) hormat-menghormati tak kira Cina, Melayu, India atau semuanya. Saya berbaik dengan semua kaum.

"Sebab (jika) kita menghina mana-mana kaum itu tidak menyelesaikan masalah. Apa yang penting ialah semua kaum kita berlumba.

"Maksudnya orang Melayu kita mencari jalan bagaimana supaya mereka jadi peniaga yang baik, manakala orang Cina yang telah berjaya dalam perniagaan bantu sama kaum-kaum lain, barulah kita hidup dalam keadaan aman, tenteram, sejahtera (sekali gus) membina negara yang paling baik di rantau ini.

"Kita akan berjaya membina Malaysia yang lebih baik sekarang dan masa akan datang," katanya ketika berucap di Majlis Kebudayaan Mahkota di Kampung Masjid Lama, pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden Amanah menyangkal anggapan bahwa usaha kerajaan mengeksport durian segar ke China hanya membantu mengkayakan sesetengah kaum.

Artikel Berkaitan:

"Ada orang tanya, Bang Mat tolong mereka jadi kaya, tauke-tauke kaya orang Tionghua kaya, apa Bang Mat dapat?

"(Saya jawab) siapa pun yang kaya di Malaysia ini tak kira kaum, kerajaan ambil cukai daripada mereka betul atau tidak? Tuan-tuan yang kaya di sini membayar cukai.

"Ini termasuk cukai korporat, cukai syarikat, cukai hasil dalam negeri, semua bayar cukai. Ertinya lagi ramai rakyat kaya, negara akan makin kaya.

"Sebab itulah saya sebagai menteri samalah dengan Kabinet, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berusaha supaya ekonomi kita pulih," katanya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, penting untuk Kerajaan Perpaduan hari ini terus kekal mentadbir sekurang-kurangnya pada penggal ini bagi menjamin keyakinan pelabur seterusnya memperkukuh ekonomi negara.

"Nak tukar kerajaan boleh tunggu lima tahun sekali pilihan raya. Jangan tukar di tengah jalan...macam dulu kita menang 2018 kemudian 22 bulan tukar (kerajaan).

"Kemudian dua tahun lagi tukar (kerajaan). Kalau lima tahun (bertukar) empat Perdana Menteri, siapa mahu percaya kepada negara ini?" katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!