Ular sawa 100kg ditangkap
BESUT - Seekor ular sawa dianggarkan seberat 100 kilogram (kg) dengan panjang kira-kira enam meter berjaya ditangkap oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut di Kampung Raja di sini pada pagi Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut (BBP), Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.22 pagi Rabu berhubung kemunculan reptilia itu di depan rumah salah seorang penduduk di kawasan tersebut.
"Ular ini ditemukan berada di depan rumah penduduk yang terletak kira-kira 50 meter dari jarak BBP Besut.
"Empat anggota bomba dikerah ke lokasi untuk menangkap ular tersebut.
"Operasi menangkapnya mengambil masa lima minit dengan menggunakan penjerut," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Muhammad Azrul Izzham, berkata, ular itu muncul dari kawasan semak berdekatan rumah salah seorang penduduk di kawasan berkenaan.
"Ular sawa itu merupakan tangkapan kali kedua yang dilakukan oleh kami selepas tangkapan pertama Februari lepas.
"Kita serahkan reptilia tersebut kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!