Kakitangan Felda didedah ilmu kewartawanan
SHAH ALAM - Kakitangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan agensi di bawahnya didedahkan dengan ilmu kewartawanan.
Kursus dikenali sebagai Felda Media Class yang dianjurkan oleh Sinar Harian itu dihadiri hampir 30 peserta terdiri daripada kakitangan Jabatan Komunikasi Strategik Felda dan Unit Komunikasi Felda dari seluruh negara di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.
Ketua Komunikasi Korporat MSM Malaysia Holdings Berhad, Siti Noorbaya Mohd Yunus berkata, Felda Media Class yang dianjurkan itu membolehkan mereka memahami bagaimana kandungan berita disusun, dipilih dan disampaikan oleh wartawan serta penyunting.
“Sekarang kami lebih memahami jenis bahan berita yang diperlukan oleh media, sekali gus membantu kami menyediakan bahan yang tepat supaya berita boleh disiarkan,” katanya ketika ditemui di sini.
Eksekutif Dakwah Media Baharu Waqaf Felda, Akipah Deana Nazihah Munawir pula berkata, peserta diberi pencerahan mengenai pelbagai jenis kandungan digital seperti teks, video, imej dan audio.
Katanya, mereka juga didedahkan bagaimana kandungan tersebut digunakan untuk menarik perhatian khalayak, memberi maklumat atau menghiburkan khalayak melalui platform dalam talian.
“Kami turut diajar untuk mengendalikan temubual bagi mendapatkan maklumat dan pandangan daripada individu serta memahami kepentingan temubual dalam pelbagai format media seperti artikel dan video,” katanya
Belajar cara berdepan wartawan
Sementara itu, Pegawai Khidmat Pelanggan Felda Wilayah Kuantan, Nur Iftitah Ab Ghani berkata, kursus tersebut turut mengajar pihaknya bagaimana cara untuk berdepan dengan wartawan ketika sidang media.
“Simulasi media membolehkan kami mempelajari cara berkomunikasi dengan profesional semasa menjawab soalan wartawan dan peserta bersedia menjawab sebarang soalan provokatif dengan baik,” katanya.
Program selama setengah hari itu dimulakan dengan ucapan Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub yang menerangkan tentang tanggungjawab dan peranan media kepada masyarakat.
Sesi kedua dikendalikan oleh Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli mengenai media utama antarabangsa dan etika kewartawanan.
Sesi seterusnya dikendalikan oleh Pengarang Eksekutif (Cetak) Sinar Harian, Azmi Tarmizi berkenaan cara menyediakan siaran akhbar.
Pengarang Eksekutif (Digital) Sinar Harian, Ruzy Adila Idris pula menekankan mengenai kaedah dan cara bagaimana bahan dimuat naik ke dalam media sosial boleh menarik perhatian pembaca.
Kursus tersebut turut dilengkapi dengan simulasi sidang media yang menyaksikan wartawan mengajukan soalan seperti dalam situasi sebenar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!