27,000 penduduk dipindahkan susulan serangan Israel - Menteri Lubnan
BEIRUT - Sekurang-kurangnya 27,000 orang dipindahkan dari selatan Lubnan dan wilayah Bekaa akibat serangan tentera Israel, lapor Agensi Anadolu memetik Menteri Alam Sekitar Lubnan, Nasser Yassin.
Bercakap pada sidang media selepas melawat beberapa pusat perlindungan, Yassin menjelaskan kemusnahan yang berlaku di bandar-bandar selatan, pinggir selatan Beirut dan bahagian lain negara itu, memaksa puluhan ribu penduduk melarikan diri ke kawasan yang lebih selamat.
Yassin berkata bahawa kira-kira 252 sekolah awam di seluruh negara diubah menjadi pusat perlindungan untuk menempatkan penduduk.
Usaha untuk mengagihkan bantuan, kit kebersihan dan makanan kepada kira-kira 20,000 orang telah dimulakan dalam tempoh 24 jam lalu, katanya.
Tentera Israel melancarkan serangan udara di Lubnan sejak awal Isnin, membunuh hampir 560 orang termasuk 95 wanita dan 50 kanak-kanak, manakala 1,835 lagi cedera, menurut Menteri Kesihatan Firas Abiad.
"Kebanyakan mangsa serangan Israel adalah orang awam yang tidak bersenjata dan mereka berada di rumah mereka. Ini menolak dakwaan musuh mengenai sasaran pejuang," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!