Maqis rampas 6kg keli salai berkulat, rosak

Keli salai yang sudah berkulat ketika cuba dibawa masuk dari negara jiran minggu lalu.
Keli salai yang sudah berkulat ketika cuba dibawa masuk dari negara jiran minggu lalu.
A
A
A

PORT DICKSON - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas enam kilogram (kg) keli salai yang sudah berkulat ketika cuba dibawa masuk dari negara jiran minggu lalu.

Maqis dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menahan kemasukan ikan berkenaan selepas pemeriksaan rutin dijalankan pegawai penguat kuasa di laluan Terminal Feri, Jeti Penumpang Port Dickson pada 19 September lalu.

"Pegawai pemeriksa yang bertugas memaklumkan penahanan itu dibuat susulan produk tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen pengimportan yang sah seperti permit import dikeluarkan oleh Maqis dan sijil kesihatan dari negara asal.

"Melalui pintasan secara fizikal yang dilakukan, keli salai tersebut juga didapati berkulat, rosak dan mungkin berisiko kepada kesihatan individu yang memakan ia," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, individu terlibat yang membawa masuk produk terbabit telah diminta menyerahkannya secara sukarela dengan memasukkan ke dalam 'quarantine bin' disediakan.

Jelasnya, tatacara pelupusan akan dilakukan mengikut kaedah yang ditetapkan.

"Individu yang ingkar boleh dihadapkan prosiding undang-undang mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Maqis menegaskan perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian, tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, tanih dan mikroorganisma tanpa permit, lesen atau perakuan yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Artikel Berkaitan:

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Tambahnya, pihaknya sentiasa teliti dan cekap dalam menjalankan pemeriksaan terhadap keluaran pertanian diimport ke dalam negara bagi menjamin setiap keluaran pertanian tiada perosak, penyakit atau bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!