Penipuan bidaan kontrak kerajaan bukan rahsia lagi

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Penipuan bidaan dalam sistem perolehan kerajaan adalah amalan haram yang melibatkan pihak-pihak yang bersaing berpakatan sulit untuk memilih pemenang dalam proses bidaan.

Presiden Persatuan Integriti dan Tadbir Urus Malaysia (MIG), Datuk Seri Dr Akhbar Satar berkata, pihak berkenaan mewujudkan pakatan sulit dengan kontraktor lain dalam memanipulasi keperluan tender dan sebut harga.

Berikut kenyataan penuh Akhbar yang juga Profesor dan Pengarah di Institut Jenayah & Kriminologi, Universiti HELP.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail menyatakan bahawa dengan menghentikan pakatan sulit dan penipuan dalam bidaan bagi kontrak kerajaan, kerajaan dapat menjimatkan 15 peratus daripada perbelanjaan tahunan atau RM13.5 bilion.

MyCC juga mencadangkan pindaan perundangan untuk memberi insentif kepada orang ramai melaporkan penetapan harga.

Ia adalah inisiatif yang baik, namun, di bawah Seksyen 25 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, adalah menjadi satu kesalahan untuk tidak melaporkan amalan rasuah.

Sebagai pensyarah dan konsultan saya telah mengadakan beberapa bengkel mengenai memerangi penipuan termasuk sistem perolehan kerajaan selama bertahun-tahun dan walaupun telah membaca pelbagai jaminan bahawa sistem perolehan awam telah diperbaiki, laporan tahunan oleh Ketua Audit menerangkan perkara yang berbeza.

Setiap tahun, laporan tersebut menyoroti kes-kes barangan, perkhidmatan, dan kerja kerja yang diperoleh yang dibayar jauh melebihi harga pasaran, kurang digunakan, dan berkualiti rendah.

Artikel Berkaitan:

Tipuan bida adalah amalan haram yang melibatkan pihak-pihak yang bersaing berpakatan sulit untuk memilih pemenang dalam proses bidaan.

Mereka mewujudkan pakatan sulit dengan kontraktor lain dalam memanipulasi keperluan tender dan sebut harga.

Terdapat empat teknik asas yang terlibat dalam pakakatan sulit dan manipulasi penetapan harga dalam perolehan awam; pertama, penindasan tawaran yang mana kontraktor menarik balik tawaran mereka memenangi bidaan kontrak supaya kontraktor tertentu dapat menang.

Kedua, putaran tawaran. Teknik ini adalah pakatan dilaksanakan agar setiap kontraktor bergilir-gilir memenangi sesuatu kontrak.

Ketiga, pembahagian pasaran iaitu kontraktor berpakat memenangi bidaan berdasarkan kepada produk, pelanggan, perkhidmatan atau kawasan geografi.

Keempat, penawaran pelengkap yang mendedahkan kontraktor sengaja mengemukakan tawaran tinggi yang akan ditolak untuk memastikan bahawa kontraktor tertentu menang bidaan kontrak.

Seorang pegawai awam kanan yang jujur pernah mengakui bahawa dalam kontrak kerajaan bila memesan motosikal, dapat basikal, kerajaan akhirnya membayar harga sebuah kereta.

Perolehan awam telah dikenalpasti sebagai salah satu aktiviti kerajaan yang paling terdedah kepada kerjasama, rasuah, manipulasi dan penipuan.

Perolehan kerajaan menyumbang sekurang-kurangnya 40 peratus daripada bajet tahunan yang diperuntukkan oleh kerajaan untuk perbelanjaan awam, termasuk pembangunan, barangan dan perkhidmatan, serta pembelian aset.

SPRM menyatakan bahawa 20 peratus aduan yang diterima antara 2022 dan Julai 2024 adalah berkaitan dengan urusan perolehan awam dan swasta.

Siasatan terhadap perolehan awam telah meningkat kepada 66 peratus pada bulan Julai 2024, berbanding 59 peratus dan 60 peratus masing masing pada tahun 2023 dan 2022.

Kelemahan dalam sistem perolehan awam ini telah disalahgunakan dan menyebabkan kerugian besar dalam dana perolehan awam, yang berulang kali berlaku berdasarkan laporan Ketua Audit Negara (AG).

Bank Dunia menganggarkan bahawa 20 hingga 30 peratus daripada bajet negara untuk kontrak awam telah disalahgunakan disebabkan rasuah.

Penemuan tersebut seiring dengan unjuran bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang yang menyatakan bahawa sehingga 30 peratus daripada nilai projek awam negara telah hilang akibat pengurusan yang tidak baik dan amalan rasuah.

Beliau percaya bahawa langkah-langkah seperti denda, pemindahan dan potongan gaji, tidak lagi realistik sebagai hukuman bagi mereka yang tidak memberi respons yang sesuai terhadap saranan dalam Laporan Ketua Audit Negara (KAN). Jadi, tiada rasa takut akan hukuman dan tidak takut kepada Tuhan.

Ambrin berkata pegawai kerajaan harus mematuhi undang-undang dan mengabaikan campur tangan politik dalam perolehan kerajaan, yang membawa risiko tinggi penipuan dan rasuah.

Ini selaras dengan apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan bahawa kebocoran boleh dihentikan jika rasuah dibanteras di semua peringkat, termasuk mengubah cara lama dalam melaksanakan sesuatu, iaitu campur tangan politik dan mengutamakan kepentingan ahli perniagaan besar dalam perolehan kerajaan.

Memandangkan tipuan bidaan adalah perkara biasa, ia boleh dicegah dengan mempunyai pegawai terlatih yang dilengkapi dengan pengetahuan asas, pengalaman atau menggunakan Undang-Undang Benford.

Alat analisis data yang canggih boleh digunakan untuk menyemak data bagi mengenal pasti corak atau tanda amaran tipuan bida seperti kontraktor yang layak tetapi gagal untuk masuk tender, selalu menang di kawasan tertentu, gagal menang bidaan kontrak mendapatkan kerja sub-kontraktor daripada kontraktor yang berjaya mendapat kontrak atau meletak harga tertinggi.

Ia juga tidak terhad kepada penarikan diri kontraktor yang menawar harga terendah yang kemudian menjadi sub-kontraktor, harga tender yang sangat tinggi tanpa sebarang justifikasi kos logik, penerimaan tawaran lewat yang tidak wajar, tawaran sangat serupa kecuali untuk beberapa baris utama tertentu.

Selain itu, perlu diberi perhatian adalah tawaran daripada kontraktor pesaing yang menggunakan nombor faks atau emel, sampul dan tulis tangan yang sama serta kesilapan yang berulang seperti ejaan yang sama dan menggunakan jenis huruf yang sama.

Walaupun adalah baik jika kerajaan mengukuhkan dasar kawalan dalaman menggunakan teknologi seperti sistem perolehan elektronik (ePerolehan), tetapi pada akhirnya, faktor manusia yang menentukan dan membuat keputusan akhir mengenai siapa yang mendapat kontrak.

Namun, tidak ada gunanya mengimport polisi kawalan dalaman yang terbaik dan alat perisian yang paling mahal dari Harvard atau Oxford jika pengendalinya (manusia) tidak mempunyai integriti.

Jika pengendali mempunyai integriti dan nilai moral, sebuah perisian sederhana atau murah dari universiti tempatan sudah cukup untuk menangani rasuah di negara ini.

Masalah utama adalah isu integriti individu tertentu dan faktor hedonistik ganjaran lumayan yang diberikan oleh kontraktor.

Oleh itu, tingkatkan tahap integriti kepimpinan tertinggi dalam sesebuah organisasi dengan mempunyai prinsip moral yang kukuh, menunjukkan contoh yang baik dan kotakan apa yang dijanjikan.

Pemimpin pula bukan sahaja bersih tetapi mesti dilihat bersih.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!