Kastam Pahang rampas lebih 13,000 liter minuman keras

Mohd Asri (kiri) menunjukkan jenis minuman keras yang disyaki tidak dikastamkan selepas mengadakan sidang akhbar di Lobi Utama, Wisma Kastam di sini pada Rabu.
Mohd Asri (kiri) menunjukkan jenis minuman keras yang disyaki tidak dikastamkan selepas mengadakan sidang akhbar di Lobi Utama, Wisma Kastam di sini pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Pahang mencatatkan pencapaian besar apabila berjaya merampas sejumlah 13,557.07 liter minuman keras pelbagai jenis dan jenama sejak Januari lalu.

Rampasan itu membabitkan nilai sebanyak RM217,741.71, dengan jumlah cukai dan duti terlibat mencecah RM638,216.17.

Pengarahnya, Mohd Asri Seman berkata, kejayaan itu hasil operasi berterusan dan kerjasama erat antara pihak penguat kuasa serta orang awam dalam membanteras aktiviti penyeludupan di negeri tersebut.

Mohd Asri (dua dari kiri) melihat minuman keras yang dirampas pihaknya selepas mengadakan sidang akhbar di Lobi Utama, Wisma Kastam di sini pada Rabu.
Mohd Asri (dua dari kiri) melihat minuman keras yang dirampas pihaknya selepas mengadakan sidang akhbar di Lobi Utama, Wisma Kastam di sini pada Rabu.

"Setakat ini, sebanyak 25 kertas siasatan telah dibuka dan 14 individu ditahan untuk membantu siasatan, manakala tiga daripadanya telah dihadapkan ke mahkamah.

"Tangkapan dibuat membabitkan suspek berusia lingkungan 20-an dan 40-an. Ada antaranya adalah warga asing dan satu daripada kes yang dibawa ke mahkamah sudah dijatuhkan hukuman," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar di Lobi Utama, Wisma Kastam di sini pada Rabu.

Sebelum itu, Mohd Asri memberitahu, dalam operasi terkini pada 4 Setember lalu, pihaknya menyerbu sebuah gudang di sekitar Kuantan yang menyimpan 1,671.84 liter minuman keras disyaki tidak berkastam.

Artikel Berkaitan:

"Rampasan itu bernilai RM23,238.58 dan ketika serbuan, gudang itu tidak mempunyai pekerja atau penjaga.

"Kes ini masih dalam siasatan untuk mengesan pemilik gudang yang terlibat dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(c) Akta Eksais 1976, yang masing-masing memperuntukkan hukuman berat termasuk denda sehingga 20 kali ganda nilai barang atau penjara sehingga lima tahun.

Dalam perkembangan sama, Mohd Asri berkata, kumpulan atau sindiket penyeludupan minuman keras yang aktif di Pahang menggunakan premis perniagaan, gudang dan premis kediaman bagi menyimpan bekalan mereka.

Ujar beliau, bekalan itu kemudiannya diedarkan ke premis perniagaan dan kawasan yang mempunyai permintaan tinggi bagi memperoleh keuntungan lumayan.

"Bantuan orang ramai adalah penting bagi memastikan kejayaan berterusan dalam memerangi jenayah penyeludupan yang bukan sahaja merugikan ekonomi negara, malah menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!