[VIDEO] Lelaki mengaku pukul isteri guna bongkah kayu ukiran gajah

A
A
A

KUALA PILAH - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan memukul isterinya dengan bongkah kayu di Bahau, Jempol Ahad lalu.

Tertuduh, M Vikneswaran, 36, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Tertuduh (dua dari kiri) diiringi anggota polis sebaik tiba di mahkamah.
Tertuduh (dua dari kiri) diiringi anggota polis sebaik tiba di mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya dengan memukulnya menggunakan sebuah bongkah kayu ukiran gajah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Mahsan, Bahau pada jam lebih kurang 9.30 pagi 22 September lalu.

Dia didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama 326A kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara yang boleh sampai 10 tahun atau dengan denda, atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Rosli Muhamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, tertuduh turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa isterinya akan menarik semula laporan polis berhubung kes tersebut.

Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan sebutan semula kes ditetapkan pada pada 29 Oktober ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!