Usaha PGSM sediakan bantuan syariah, bantu bela mangsa GISBH

Zulkifli Hasan
Zulkifli Hasan
A
A
A

SEREMBAN - Kesediaan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menawarkan bantuan dari segi syariah kepada isteri dan anak-anak berkaitan dengan syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), dilihat sebagai satu tindakan tepat yang akan dapat memastikan masa depan mangsa, terbela.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, usaha pemulihan terhadap semua mangsa yang diselamatkan akan dilakukan secara menyeluruh, termasuk aspek akidah, pendidikan, ekonomi dan kebajikan.

"Keutamaan kita sekarang ini ialah menyelesaikan kemelut ini, menegakkan keadilan kepada mangsa dan mengheret pesalah ke muka pengadilan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Kelestarian Insan kali kelapan di sini hari ini.

Beliau turut menyeru semua pihak perlu bersatu dalam menghadapi ancaman terhadap kesucian agama dan kemaslahatan umat dan berhenti daripada sikap menuding jari antara satu sama lain.

Semalam Presiden PGSM, Musa Awang berkata, persatuan itu bersedia bekerjasama dan menawarkan bantuan, khususnya hal-hal berkaitan syariah kepada mangsa terutama isteri dan anak-anak yang diselamatkan daripada GISBH.

Antara bantuan yang akan diberikan ialah nasihat guaman syariah, membawa permohonan ke Mahkamah Syariah berhubung pengesahan status nikah, pengesahan status nasab anak-anak dan hak penjagaan anak-anak.

Polis yang melaksanakan Op Global sejak 11 September, menyelamatkan 572 kanak-kanak dan remaja kerana disyaki menjadi mangsa eksploitasi syarikat itu.

Sementara itu, Zulkifli berkata, mengenai program persidangan bertemakan ‘Kelestarian Insan sebagai Manifestasi Pembinaan Masyarakat Madani yang diadakan hari ini, merupakan anjuran bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dan Institut Sosial Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Program itu diharap dapat memberikan idea bernas dan cadangan berkualiti bagi memperkasakan pembinaan masyarakat MADANI berteraskan enam tunjang utama iaitu kemapanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!