Bubar Parlimen, pembangkang ketandusan idea - AMK

Nabil Halimi
Nabil Halimi
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan pembangkang untuk Parlimen dibubarkan dengan segera menunjukkan blok itu semakin ketandusan idea alternatif yang dapat memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi berkata, pembangkang perlu sedar bahawa mandat yang diberikan rakyat adalah untuk lima tahun dan berhak memberi kepada gabungan lain dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya prestasi kerajaan sedia ada didapati tidak memuaskan dalam tempoh itu.

Malah beliau menjelaskan, pelbagai reformasi ekonomi telah dilaksanakan dalam tempoh hampir dua tahun pentadbiran seperti penstrukturan semula subsidi, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga dan Pelan Induk Industri Baru 2030.

"Hasilnya, keyakinan pelabur telah pulih, nilai ringgit mengukuh dan kadar pertumbuhan ekonomi negara melebihi jangkaan.

"Maka tiada justifikasi kukuh untuk mengadakan pilihan raya umum secara terburu-buru, yang hanya akan membazirkan masa dan sumber negara.

"Sebaliknya, pembangkang dilihat ketagihan tabiat untuk menukar kerajaan secara kerap yang boleh merosakkan kestabilan negara,," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan, Ketua Penerangan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen segera untuk mengembalikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Razali mendakwa, pilihan raya kilat disifatkan jalan terbaik mengukur sokongan kerajaan hari ini dan bukan usul tidak percaya di Dewan Rakyat seperti gesaan Anwar kepada pembangkang, Jumaat lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Nabil menegaskan, sebarang usaha untuk mendesak Ahli Parlimen Tambun melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri juga harus dibawa ke Dewan Rakyat sebagaimana disarankan Ketua AMK, Adam Adli sebelum ini.

"Rakyat perlu melihat pembangkang sebagai entiti yang berdisiplin dan tidak mengheret negara ke kancah ketidakstabilan.

"Usah berdolak-dalik menipu diri sendiri untuk sesuatu isu yang menampakkan kelompongan kesepakatan barisan pembangkang di dalam Perikatan Nasional yang kian retak menanti belah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!