CAP gesa Akta 852 dikuat kuasa dengan tindakan tegas

CAP menggesa Akta 852 dikuatkuasakan secara tegas dan menyeluruh demi menyelamatkan berjuta-juta nyawa kanak-kanak. (Gambar kecil: Subbarow) Gambar hiasan
CAP menggesa Akta 852 dikuatkuasakan secara tegas dan menyeluruh demi menyelamatkan berjuta-juta nyawa kanak-kanak. (Gambar kecil: Subbarow) Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa agar Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dikuatkuasakan secara tegas dan menyeluruh demi menyelamatkan berjuta-juta nyawa kanak-kanak.

Menurut Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow, Akta 852 yang sudah lama dinantikan itu merupakan langkah penting untuk melindungi golongan muda daripada ketagihan rokok, vape, dan rokok elektronik yang sering menjadi punca kepada penyalahgunaan bahan terlarang lain.

"Akta ini perlu dikuatkuasakan segera, bukannya sekadar memberi kompaun atau amaran kepada mereka yang menghisap rokok, vape atau rokok elektronik.

"Akta ini boleh menyelamatkan berjuta-juta nyawa anak muda yang kini terdedah kepada bahaya ketagihan nikotin dan dadah berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Subbarow turut menekankan bahawa Akta 852 bukan hanya akan menyelamatkan nyawa manusia malah berpotensi melindungi alam sekitar daripada pencemaran yang disebabkan oleh sisa rokok dan rokok elektronik.

"CAP berharap akta ini bukan sahaja akan melindungi kesihatan awam, tetapi juga menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar. Tindakan tegas perlu diambil tanpa sebarang kompromi.

"CAP menyokong penuh CAP terhadap penguatkuasaan Akta 852. Ini kerana, kita mendapati, ramai pengguna vape beranggapan bahawa larangan merokok tidak terpakai untuk mereka disebabkan ketika ini, tiada tindakan diambil terhadap pengguna vape di zon larangan merokok," katanya.

Tambah Subbarow, pihaknya turut mengesyorkan supaya papan tanda amaran jelas dipasang di zon larangan merokok, termasuk di perhentian bas, pusat beli-belah, tempat awam dan kawasan yang sesak dengan bukan perokok.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang lebih penting, kerajaan perlu melindungi kanak-kanak dan remaja daripada akses untuk mendapatkan produk tembakau. Kerajaan mesti bertindak tegas bagi memastikan mereka ini tidak diberi peluang untuk membeli atau memiliki sebarang produk tembakau.

"CAP memohon kerajaan untuk menunjukkan komitmen serius dalam menangani isu rokok dan vape dengan memastikan penguatkuasaan sepenuhnya Akta 852 demi kesejahteraan generasi masa depan," katanya.

Sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Muaz Sayuti memaklumkan, Akta 852 bakal memberi perlindungan kepada masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak daripada bahaya produk rokok dan rokok elektronik atau vape.

Beliau berkata, akta itu ditunggu-tunggu oleh ibu bapa dan guru kerana dapat mengawal semua jenis produk rokok yang ada dalam pasaran berikutan ia turut melibatkan soal pendaftaran produk itu dengan KKM.

Tambahnya lagi, KKM berusaha untuk meluluskan akta itu kerana perlu ada akta khas yang mengawal produk rokok dan vape sedangkan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 berada di bawah Akta Makanan 1983.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!