Turunkan Jalur Gemilang: Polis siasat Moses Paul Anap, NGO

Razarudin.
Razarudin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang individu yang disyaki terbabit dalam kejadian menurunkan Jalur Gemilang sebelum diganti dengan bendera Sabah dan Sarawak di Melbourne, Australia, pada 16 September lalu, masih berada di luar negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek dikenal pasti sebagai Moses Paul Anap, berusia 36 tahun.

"Kita sedang menyiasat hubungannya dengan lelaki yang menyebarkan video berkenaan melalui media sosial.

"Berdasarkan semakan dan siasatan polis mendapati suspek (Moses) direkodkan keluar dari negara ini pada 26 Oktober 2016, sehingga kini tiada rekod masuk yang menyatakan secara rasmi dia kembali ke tanah air," katanya melalui kenyataan media pada Rabu.

Razarudin berkata, susulan kes itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggunakan nama 'Republic of Sabah North Borneo' yang didaftarkan di Australia.

"Pada masa ini PDRM sedang mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Pada Isnin, media melaporkan polis telah membuka kertas siasatan bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penularan video berkenaan.

Razarudin dilaporkan berkata, hasil siasatan awal mendapati insiden itu berlaku di Melbourne, Australia, 16 September lalu.

Artikel Berkaitan:

Polis menerima 35 laporan berkait penyebaran video itu, dengan 34 daripadanya di Sabah dan satu lagi di Kuala Lumpur.

Hasil siasatan juga mendapati video itu disyaki ditularkan oleh pemilik akaun media sosial beralamat di Sabah yang memiliki dua rekod jenayah membabitkan Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Video berdurasi lapan minit 13 saat itu memaparkan tindakan sekumpulan individu menurunkan Jalur Gemilang sebelum menaikkan bendera Sabah dan Sarawak pada paras separuh tiang di hadapan bangunan Parlimen di Victoria, Melbourne.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!