Mesin AED pertama ditempatkan di restoran Puchong
PUCHONG - Bagi membantu menyelamatkan pesakit yang diserang sakit jantung di rumah atau kawasan awam, satu mesin defibrillator luaran automatik (AED) ditempatkan di sebuah restoran di Puchong Utama di sini.
Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng berkata, mesin AED berkenaan berperanan bagi memberi bantuan awal kepada mereka yang diserang sakit jantung di sekitar kawasan tersebut.
Menurutnya, orang ramai sekitar Puchong Utama boleh menggunakan kemudahan mesin tersebut pada bila-bila masa diperlukan secara percuma kerana ia ditempatkan di restoran beroperasi 24 jam.
"Mesin AED ini berperanan untuk memberikan renjatan elektrik kepada jantung yang tidak berfungsi, mereka yang rebah, berhenti bernafas atau diserang pegun jantung atau cardiac arrest.
"Apabila cardiac arrest berlaku, oksigen dan darah tidak sampai ke otak menyebabkan otak akan mula mati dalam masa empat minit sebelum kematian keseluruhan dalam masa 10 minit.
"Disebabkan itu, kita putuskan untuk letak mesin AED ini di restoran beroperasi 24 jam supaya ia boleh digunakan pada bila-bila masa diperlukan," katanya kepada Sinar Harian ketika menerima sumbangan mesin tersebut daripada syarikat pembekal peti pertolongan cemas & peti kecemasan, Vitalfour Medical Sdn Bhd.
Chee Heng atau lebih dikenali 'Uncle Kentang' berkata, kemudahan itu adalah yang pertama di letakkan di restoran di Puchong.
Beliau yang turut menawarkan kemudahan ambulans percuma kepada golongan memerlukan berharap dengan wujudnya mesin itu lebih banyak nyawa dapat diselamatkan.
"Saya juga berharap lebih ramai orang akan belajar dan mempunyai kemahiran asas bantuan pernafasan kecemasan (CPR) serta cara penggunaan AED.
“Ini kerana saya dapati ramai yang mengalami pegun jantung namun orang sekeliling tidak tahu hendak buat apa.
“AED ini penting kerana ia boleh menaikkan peratus penyelamatan nyawa sebanyak 70 peratus berbanding dengan hanya menggunakan kaedah CPR,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Vitalfour, E C Tan berterima kasih kepada Uncle Kentang kerana memberinya peluang untuk turut serta sebagai penaja dalam projek tanggungjawab sosial syarikat.
Tan berkata, pihaknya berharap dapat bersama-sama untuk membawa AED, CPR dan pengetahuan pertolongan cemas kepada lebih ramai individu serta komuniti.
“Matlamat kami adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai dan menyelamatkan seberapa banyak nyawa yang mungkin.
“Saya yakin ini hanyalah permulaan kepada lebih banyak kerjasama bermakna untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!