Taman tema hiburan keluarga bakal dibuka di Atria Shopping Gallery

Samantha Lew (dua dari kiri) dan Chris Tan (dua dari kanan) berjabat tangan selepas selesai menandatangani perjanjian yang disaksikan oleh, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan OSK, Ong Ju Xing (kiri) dan Greenwillow Capital Management Pte Ltd, Loh Wai Keong (kanan) yang diadakan pada Rabu. FOTO SINAR HARIAN-ROSLI TALIB
Samantha Lew (dua dari kiri) dan Chris Tan (dua dari kanan) berjabat tangan selepas selesai menandatangani perjanjian yang disaksikan oleh, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan OSK, Ong Ju Xing (kiri) dan Greenwillow Capital Management Pte Ltd, Loh Wai Keong (kanan) yang diadakan pada Rabu. FOTO SINAR HARIAN-ROSLI TALIB
A
A
A

PUSAT beli-belah Atria Shopping Gallery bakal berubah wajah menjadi sebuah taman tema hiburan keluarga terkemuka tahun depan bagi memberi pengalaman menyeronokkan masyarakat untuk belajar dan berhibur dalam satu masa di premis itu.

Pengurus Besar OSK Property Investment, Samantha Lew berkata, pusat hiburan tersebut adalah kerjasama dengan PeopleUp Singapura sekali gus menjadi taman tema pertama syarikat berkenaan di luar negaranya.

"Perkongsian ini bukan sekadar memperkenalkan jenama baharu bagi taman tema tetapi ia lebih kepada mencipta hab setempat untuk keluarga, memberikan pengalaman yang menyeronokkan serta pembelajaran yang holistik.

"Taman tema PeopleUp ini dijangka akan mula beroperasi pada separuh pertama 2025. Kami percaya bahawa pembukaan taman tema ini kelak akan memberikan lonjakan kunjungan.

"Ketika ini purata kunjungan bulanan adalah sekitar 600,000 dan dengan adanya taman tema ini, ia akan menarik pengunjung bukan saja dari kawasan setempat tetapi seluruh Lembah Klang," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman di sini pada Rabu.

Samantha Lew (dua dari kiri) dan Chris Tan (dua dari kanan) pada majlis menandatangani perjanjian yang disaksikan oleh, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan OSK, Ong Ju Xing (kiri) dan Greenwillow Capital Management Pte Ltd, Loh Wai Keong (kanan) yang diadakan pada Rabu.- FOTO SINAR HARIAN-ROSLI TALIB
Samantha Lew (dua dari kiri) dan Chris Tan (dua dari kanan) pada majlis menandatangani perjanjian yang disaksikan oleh, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan OSK, Ong Ju Xing (kiri) dan Greenwillow Capital Management Pte Ltd, Loh Wai Keong (kanan) yang diadakan pada Rabu.- FOTO SINAR HARIAN-ROSLI TALIB

Tambah Samantha, kumpulan juga percaya PeopleUp akan memainkan peranan penting sebagai pemangkin utama dalam perjalanan transformasi Atria Shopping Gallery.

Beliau berkata, ia juga bukti komitmen OSK Property untuk mengatur ruang yang menambah nilai kepada komuniti dan berharap untuk mencipta masa depan bertenaga serta meningkatkan pengalaman pengunjung.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, dengan lebih 16 jenama anak syarikat di Singapura, PeopleUp memperlihatkan reputasinya untuk menyampaikan pengalaman yang inovatif, menarik dan berkesan untuk keluarga.

"Jenama utamanya seperti Bouncy Paradise, taman permainan mengembung terbesar di Asia dan Dinoland, taman dinosaur dalaman yang pertama dan terbesar di Singapura dengan hutan hidup bersama-sama dengan VroomTown, bandar permainan pemanduan mega pertama untuk kanak-kanak berjaya merekodkan lebih setengah juta pengunjung setiap tahun.

"Justeru, kami yakin pengembangan baharu di Atria Shopping Gallery akan dibangunkan berdasarkan kejayaan di Singapura, mempamerkan konsep menarik dan berorientasikan keluarga serta memperkenalkan pengalaman baharu yang disesuaikan dengan pasaran Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif PeopleUp Singapore, Chris Tan Wei Quan berkata, Malaysia adalah negara pertama pembukaan taman temanya di luar Singapura.

Menurutnya, Malaysia mempunyai potensi perkembangan yang kukuh untuk taman tema berdasarkan kepada jumlah penduduk dan saiz tanah yang lebih besar.

"PeopleUp Atria Shopping Gallery dijangka mempunyai 20 jenama permainan yang disesuaikan dengan permintaan tempatan dan kami yakin ia akan mendapat sambutan.

"PeopleUp juga akan membuka tiga taman tema di Malaysia pada tahun depan selain meninjau pasaran lain seperti di Hong Kong dan Indonesia," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!