[VIDEO] Kes tentera maut terkena tembakan: Polis tahan dua pemburu haram

A
A
A

KUCHING - Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes anggota tentera maut akibat terkena tembakan ketika menjalani latihan di kawasan hutan di Song, Kapit, Isnin lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, kedua-dua yang berusia 31 tahun ditahan pada hari sama dan polis merampas satu senapang patah serta beberapa peluru penabur daripada mereka.

Mancha. Foto Bernama
Mancha. Foto Bernama

"Siasatan mendapati mereka menjalankan aktiviti memburu secara haram. Seorang daripadanya telah melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangka binatang liar dalam kejadian 2.45 pagi itu,” katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Beliau berkata, mangsa lelaki dalam kes itu merupakan seorang anggota tentera berpangkat koperal berusia 29 tahun dari 9 Briged yang berpangkalan di Sibu.

"Mangsa cedera terkena tembakan di bahagian pinggang dan paha kiri. Dia dihantar ke Hospital Kapit namun meninggal dunia pada 7.43 pagi,” katanya.

Mancha berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan dalaman yang teruk, dengan peluru penabur terbabit terkena pada hati.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki berkenaan kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Isnin lepas, Ketua Polis Daerah Song, Deputi Superintenden Rowney Michael Jalak dilaporkan berkata, anggota tentera itu dikenal pasti sebagai Koperal Petrus Linggi Liman dan kejadian berlaku ketika mangsa sedang melaksanakan latihan melibatkan kawasan am Kanowit-Nanga Dap-Song. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!