PPM Tawau rampas 4,000 anak kura-kura cuba diseludup masuk

No Image Caption
A
A
A

TAWAU - Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 4,000 ekor anak kura-kura carettochelys insclupta yang masih hidup cuba diseludup masuk ke Tawau dari negara jiran melalui muara Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik dekat sini pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, anggota yang bertugas dalam Ops Gelora mengesan sebuah bot dikendalikan seorang lelaki warga Indonesia, bergerak dari arah Haji Kuning menuju ke Tawau.

"Hasil pemeriksaan, anggota bertugas menemui tiga bagasi besar dan dua kotak dalam bot itu yang mengandungi 39 bekas plastik berisi kira-kira 4,000 anak kura-kura yang masih hidup," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata polis kemudiannya menahan seorang suspek berumur 38 tahun dan hasil soal siasat suspek mendakwa seorang lelaki yang memandu teksi di Sungai Haji Kuning telah meminta beliau membawa tiga bagasi itu ke Tawau.

"Suspek yang tidak mengetahui isi kandungan beg itu bersetuju membawanya dengan upah RM50," katanya dan difahamkan kura-kura itu hendak dihantar ke Semporna.

Mohd Nazari berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, harga haiwan itu boleh mencecah sehingga RM250 setiap ekor dan menurutnya difahamkan spesis kura-kura itu adalah haiwan yang dilindungi di Indonesia banyak didapati di Kepulauan Papua.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!