86 murid SK Chepor keracunan makanan

Seramai 86 murid SK Chepor di Ipoh mengalami muntah dan cirit-birit akibat keracunan makanan. Foto hiasan
Seramai 86 murid SK Chepor di Ipoh mengalami muntah dan cirit-birit akibat keracunan makanan. Foto hiasan
A
A
A

IPOH - Seramai 86 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor di sini mengalami muntah dan cirit-birit termasuk seorang dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akibat keracunan makanan dalam kejadian pada Selasa.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, berdasarkan laporan diterima daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara, kejadian difahamkan berlaku bermula jam 10.50 pagi melibatkan pelajar sesi pagi dan petang.

Menurutnya, sebahagian murid yang mengalami simptom berkenaan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan klinik swasta manakala seorang murid pendidikan khas terpaksa ditahan di HRPB untuk pemantauan.

"Berdasarkan laporan yang diterima, ada beberapa makanan yang dikhuatiri tercemar iaitu Milo ais, mi kari dan kari ayam. Pihak Pejabat Kesihatan Daerah akan membuat pemeriksaan dan sebagainya cuma laporan awalnya memang ada kes keracunan makanan dan pihak PPD Kinta Utara telahpun mengarahkan pengurusan sekolah untuk membuat laporan.

"Makanan itu diperoleh dari kantin sekolah. Cuma ada murid selepas jam 4 petang baru ada simptom apabila ibu bapa masukkan dalam grup sekolah dan pihak sekolah ambil maklum untuk keluarkan surat terima rawatan ke klinik," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutup Hari Terbuka Politeknik Ungku Omar (PUO) dan Festival Makanan 2024 di Dewan Jubli Perak, PUO di sini pada Rabu.

Khairudin (kiri) ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Hari Terbuka PUO dan Festival Makanan 2024 di Dewan Jubli Perak, PUO di Ipoh pada Rabu.
Khairudin (kiri) ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Hari Terbuka PUO dan Festival Makanan 2024 di Dewan Jubli Perak, PUO di Ipoh pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Khairudin berkata, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kinta sudah pun datang ke sekolah berkenaan bagi membuat pemeriksaan dan mengambil sampel berkaitan kejadian tersebut jam 11 pagi Rabu.

Menurutnya, sebarang keputusan lanjut bergantung kepada siasatan daripada pejabat kesihatan berkenaan.

Sementara itu pihak sekolah pula perlu mengemukakan laporan mengikut prosedur ditetapkan iaitu pada hari pertama, ketiga dan ketujuh.

Jelasnya, laporan itu perlu dihantar secara berkala oleh pihak pentadbiran sekolah kepada PPD Kinta Utara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!