Terengganu negeri pertama guna S@MPAI
MARANG - Terengganu menjadi negeri pertama menggunakan Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi (S@MPAI) yang dipasang di 32 Pusat Khidmat Masyarakat (PKM).
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, S@MPAI merupakan satu bentuk penyampaian maklumat dengan cara lebih menarik menerusi grafik yang dikemas kini secara harian.
Menurutnya, ia dikawal secara berpusat oleh Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC).
"Sistem itu akan mendekatkan jurang antara pencari kerja dengan peluang kerjaya melalui penyampaian menerusi beberapa saluran S@MPAI untuk sampai ke kumpulan sasaran.
”Sebagai contoh, menerusi media sosial kita akan menggunakan medium Facebook, TikTok dan Instagram bagi golongan remaja manakala aplikasi perbualan melalui kumpulan WhatsApp dan Telegram untuk golongan dewasa.
”Sementara itu, kita akan menggunakan paparan digital melalui skrin S@MPAI bagi mereka yang berumur dan kurang pendedahan medial sosial,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sistem tersebut di Alur Limbat di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ariffin, berkata, sebanyak 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) terlibat dalam program Le Tour De' Grassroots THRDC yang melibatkan 1,046 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)
Beliau berkata, melalui program tersebut, sebanyak 31 kumpulan WhatsApp melibatkam lebih 900 orang bersama PKM dan JPKK untuk tujuan penyampaian maklumat secara efektif.
”Ia bagi menjalinkan libat urus PKM, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMITS) dan JPKK selaku pemegang taruh kumpulan akar umbi (rakyat) dan memperkenalkan THRDC serta agenda pekerjaan negeri Terengganu.
”Selain itu, mewujudkan saluran komunikasi agar segala maklumat dapat disampaikan kepada rakyat melalui PKM, IMITS dan JPKK serta mengumpul data pencari kerja sekitar DUN (pendaftaran Rakan THRDC).
"Ia juga mendapat kerjasama dari PKM, IMITS dan JPKK untuk menjayakan segala usaha dan gerak kerja berkaitan agenda pekerjaan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!