Tiada gangguan bekalan minyak masak - KPDN Kedah

Penguat kuasa KPDN memeriksa bekalan minyak masak peket di sebuah premis di daerah Kubang Pasu.
Penguat kuasa KPDN memeriksa bekalan minyak masak peket di sebuah premis di daerah Kubang Pasu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menegaskan tiada gangguan bekalan minyak masak peket bersubsidi di negeri ini dan bekalan mencukupi untuk kegunaan penduduk.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas 21 syarikat pembungkus yang membekalkan 3.443 juta kilogram (kg) minyak masak peket satu kg di Kedah setiap bulan.

Katanya, hasil pemeriksaan secara keseluruhannya mendapati tiada gangguan di peringkat pengeluaran dan pengedaran ke pasaran dengan bekalan adalah mencukupi," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

"Kami telah melakukan pemeriksaan di lima syarikat pembungkus di Sungai Petani susulan laporan media mengenai kekurangan bekalan minyak masak peket satu kg di sekitar daerah ini.

"Bagaimanapun kita mendapati kuota pengeluaran bulanan minyak masak peket satu kg bagi lima syarikat pembungkus yang beroperasi di Sungai Petani adalah sebanyak 671,000kg dan mampu menampung permintaan di daerah tersebut," ujarnya.

KPDN telah menjalankan pemeriksaan ke atas 21 syarikat pembungkus yang membekalkan 3.443 juta kilogram minyak masak peket satu kg di Kedah setiap bulan.
KPDN telah menjalankan pemeriksaan ke atas 21 syarikat pembungkus yang membekalkan 3.443 juta kilogram minyak masak peket satu kg di Kedah setiap bulan.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Nizam berkata, sebanyak 32 kes direkodkan melibatkan barang kawalan berjadual bagi komoditi minyak masak pada tahun ini sehingga Rabu.

"Tiga kes daripadanya melibatkan kesalahan enggan menjual minyak masak dan satu kes melibatkan kesalahan meletakkan syarat bagi pembelian minyak masak kepada pengguna.

Artikel Berkaitan:

"Nilai sitaan keseluruhan bagi kes yang melibatkan minyak masak pada tahun ini berjumlah RM3,433.10," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan dan pemantauan rantaian bekalan minyak masak peket satu kg akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan minyak masak bersubsidi ada dalam pasaran selain bagi mengelakkan gangguan bekalan akibat ketirisan.

"KPDN memberi amaran keras kepada semua pihak yang berurusan dengan barang kawalan berjadual khususnya minyak masak peket satu kg agar sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan.

"Peniaga diingatkan supaya tidak meletakkan sebarang syarat pembelian dan hanya dibenarkan mengehadkan kuantiti pembelian bagi setiap individu supaya lebih ramai pengguna dapat menikmati subsidi yang diberikan oleh kerajaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!