Melaka agih insentif RM146,000 kepada 13 atlet cemerlang Sukan SEA

Adly Zahari (dua dari kiri) menyampaikan insentif kepada Jaguh Pecut Negara, Khairul Hafiz Jantan (dua dari kanan) pada majlis penyampaian Hadiah Kemenangan Atlet Negeri Melaka dan penyerahan watikah bapa angkat, jabatan angkat dan anak angkat sempena Sukan Malaysia ke-20 (SUKMA) Johor 2020 di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini. - Foto: Bernama
Adly Zahari (dua dari kiri) menyampaikan insentif kepada Jaguh Pecut Negara, Khairul Hafiz Jantan (dua dari kanan) pada majlis penyampaian Hadiah Kemenangan Atlet Negeri Melaka dan penyerahan watikah bapa angkat, jabatan angkat dan anak angkat sempena Sukan Malaysia ke-20 (SUKMA) Johor 2020 di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KERAJAAN negeri mengagihkan insentif Sukan SEA ke-30 Filipina berjumlah RM146,000 kepada 13 atlet negeri ini yang mengharumkan nama negara pada temasya dwitahunan itu.

Setiap pemenang menerima hadiah kemenangan berjumlah RM10,000 bagi setiap pingat emas diraih manakala perak (RM8,000) dan gangsa (RM6,000).

Majlis penyampaian insentif itu disempurnakan Ketua Menteri, Adly Zahari yang turut dihadiri Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka, Ariffin Mohd Ghani.

Pada Sukan SEA yang berlangsung pada 30 November hingga 11 Disember tahun lepas, atlet kelahiran negeri ini memperoleh lima emas, enam perak dan lapan gangsa dalam acara diwakili masing-masing bagi kategori individu dan berpasukan.

Mereka menyumbang pingat masing-masing dalam acara sukan gimnastik artistik, badminton, memanah, olahraga, hoki dalam dewan, bola keranjang dan ragbi dan merupakan antara 27 atlet Melaka yang bertanding pada Sukan SEA lalu.

Penerima tertinggi insentif tersebut pemain badminton regu lelaki negara, Aaron Chia iaitu RM18,000 selepas merangkul satu pingat emas dalam acara regu lelaki dan satu perak bagi acara berpasukan.

Sementara itu Adly berkata, pemberian hadiah kemenangan itu merupakan penghargaan kerajaan negeri kepada para atlet yang membawa nama negeri Melaka di persada antarabangsa.

"Kejayaan mereka menjadi kebanggaan seluruh rakyat negara ini dan sudah tentu kejayaan mereka akan menjadi contoh dan memberi motivasi serta aspirasi kepada atlet-atlet muda negeri ini yang akan menyertai temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, pada majlis itu, Adly turut menyampaikan watikah bapa angkat, jabatan angkat dan anak angkat Sukma pada Julai ini kepada 24 sukan terlibat sempena persiapan kontinjen Melaka. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!