Bekas pengetua Asrama Akhlak didakwa salah guna wang lebih RM43,000

Mohd Baharudin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas empat pertuduhan menyalahgunakan wang bernilai RM43,098.20 berkaitan lebihan tuntutan bayaran daripada JKM Johor, tiga tahun lepas. Foto Bernama
Mohd Baharudin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas empat pertuduhan menyalahgunakan wang bernilai RM43,098.20 berkaitan lebihan tuntutan bayaran daripada JKM Johor, tiga tahun lepas. Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang bekas pengetua Asrama Akhlak (Lelaki) Kempas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menyalahgunakan wang bernilai RM43,098.20 berkaitan lebihan tuntutan bayaran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor, tiga tahun lepas.

Mohd Baharudin Admin, 45, juga tidak mengaku bersalah terhadap terhadap empat tuduhan pilihan memalsukan dokumen senarai Daftar Kehadiran Harian Tahanan Sementara (TS) Asrama Akhlak (L) Kempas kepada JKM Negeri Johor, pada tahun sama, selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya hari ini.

Lelaki itu didakwa dengan curangnya menyalahgunakan suatu harta iaitu wang berjumlah RM15,718.20, RM4,500, RM9,380 dan RM13,500, iaitu lebihan tuntutan bayaran syarikat Hikmat Warisan kepada JKM Negeri Johor melalui akaun CIMB Islamic Bank Bhd miliknya, daripada Mohd Ashaari Masiran, 39.

Kesemua kesalahan tersebut dilakukan di sebuah bank di Pusat Bandar Tampoi, di dalam Daerah Johor Bahru pada 6 Januari 30 Apr, 31 Mei dan 25 September 2021 dan pendakwaan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Baharudin juga didakwa atas pertuduhan pilihan satu hingga empat, dengan curangnya menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu Senarai Daftar Kehadiran Harian Tahanan Sementara Asrama Akhlak (L) Kempas bagi bulan Julai, Ogos, September dan Oktober 2021 yang diketahui pada masa tertuduh menggunakannya adalah satu dokumen palsu.

Kesalahan dilakukan di JKM Negeri Johor, Wisma Persekutuan, Jalan Ayer Molek, di dalam Daerah Johor Bahru, pada 2 November, 2 September, 4 Oktober dan 2 November 2021.

Pendakwaan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Yasri Yahya dan Mohammad Riduwan Mohammad Radzi, mencadangkan jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Johor Bahru, dan passport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Peguam Khairul Azwad Sariman dan Mohd Syahmi Nawawi memohon jaminan dikurangkan tidak lebih RM10,000 dan pengecualian syarat, kerana Mohd Baharudin yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat sentiasa memberi kerjasama kepada SPRM, selain telah berkhidmat sebagai penjawat awam selama 22 tahun dan menanggung seorang isteri yang tidak bekerja dan lima anak kecil yang masih bersekolah.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail kemudiannya membenarkan lelaki itu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan untuk semua pertuduhan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 24 Oktober depan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!