'Dulu PPR seram, kini macam kondo mewah'
SUBANG - Inisiatif kreatif penghuni tingkat 10 Blok D, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang di sini berjaya mengubah suai landskap rumah kos rendah itu menjadi seperti kondominium mewah.
Menerusi video tular di TikTok @hanakamie memaparkan keadaan sebelum dan selepas kerja pengubahsuaian dilakukan membabitkan bahagian koridor, tangga dan lif dilakukan di tingkat berkenaan.
Kerja secara gotong-royong bersama jiran tetangga itu berjaya melakukan transformasi dari sebuah PPR seram terus menjadi kondo.
"Seronokkan macam ini baru abang Grab tak rasa seram," seloroh pemilik akaun TikTok tersebut beserta gambar ubah suai dijalankan.
Difahamkan penduduk melakukan inisiatif itu sempena pertandingan Kebersihan dan Keceriaan PPR Lembah Subang 1.
Sementara itu rata-rata pengguna media sosial memuji usaha hasil ubah suai dilakukan penduduk PPR berkenaan.
"Dari port cerita seram terus jadi lobi hotel.. terbaik," puji seorang pengguna media sosial.
Usaha keras dilakukan penduduk turut juga mengubah persepsi buruk penduduk PPR yang dikaitkan sikap pengotor dan mentaliti rendah.
"Terbaik.. mentaliti macam ini yang kita mahukan.. Mula dari satu tingkat dulu nanti buat ke tingkat-tingkat lain pula.
"Biar duduk PPR tapi mentaliti macam duduk kondo mewah," komen Diamoc20.
Seorang pengguna lain turut kagum dengan kreativiti dihasilkan penduduk dan mencadangkan pemasangan CCTV dilakukan bagi mengelak vandalisme.
"Elok letak CCTV, orang dah buat cantik-cantik nanti ada yang buat kotor, boleh suruh dia bersihkan balik," komen Naniey Sakura09.
"Cantik.. Patut pasang CCTV, takut ade yang dengki khianat," komen Zura.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!