Perak sekat ke luar negara individu tidak bayar pinjaman pendidikan

Khairudin (duduk, tengah) bersama pelajar dan warga PUO selepas menyempurnakan Majlis Penutup Hari Terbuka PUO dan Festival Makanan 2024 di Dewan Jubli Perak, PUO di sini pada Rabu.
Khairudin (duduk, tengah) bersama pelajar dan warga PUO selepas menyempurnakan Majlis Penutup Hari Terbuka PUO dan Festival Makanan 2024 di Dewan Jubli Perak, PUO di sini pada Rabu.
A
A
A

POH - Kerajaan negeri Perak akan melaksanakan tindakan pemotongan gaji dan sekatan ke luar negara bagi mana-mana individu yang tidak membayar balik Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, sehingga 31 Disember 2023, sebanyak RM16.83 juta tunggakan bayaran balik pinjaman tersebut melibatkan seramai 1,857 orang.

Menurutnya, sehubungan itu beberapa tindakan sudah diambil terhadap peminjam dan kerajaan negeri juga akan melaksanakan langkah tambahan bagi mendapatkan semula wang tunggakan tersebut.

"Sebenarnya kita sudah ambil tindakan, yang pertama kita sudah hantar surat arahan bayaran balik, kita hantar bil tuntutan kali pertama dan kedua.

"Kita juga ada cadangan mereka yang berkhidmat dengan kerajaan akan buat potongan gaji melalui ketua jabatan selain bayaran balik melalui pengeluaran KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).

"Insya-ALLAH pada Januari 2025 ini, kita akan laksanakan penguatkuasaan sekatan ke luar negara dengan kerjasama Jabatan Imigresen dan sebagainya," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutup Hari Terbuka Politeknik Ungku Omar (PUO) dan Festival Makanan 2024 di Dewan Jubli Perak, PUO di sini pada Rabu.

Khairudin berkata, pinjaman tersebut harus dibayar semula memandangkan kerajaan negeri tidak lagi memperuntukkan dana bagi inisiatif tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Tabung Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak ketika ini hanya menggunakan wang yang sudah dibayar balik oleh peminjam terdahulu.

"Ada dalam kalangan mereka yang berkhidmat atau melepasi tempoh pengajian lima hingga 10 tahun tetapi masih tidak mahu membayar.

"Saya seru para peminjam fikir generasi akan datang kerana duit ini diguna semula memandangkan mulai Januari 2023 kerajaan negeri tidak memberi peruntukan untuk Pinjaman Pendidikan Tinggi Negeri Perak.

"Adalah tidak wajar mereka yang culas atau malas bayar, akhirnya menjejaskan adik-beradik, sanak saudara yang patut diberi ruang untuk dapatkan pinjaman tetapi tidak dapat diberikan kerana ketidakmampuan kita," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairudin mengakui prestasi bayaran balik pinjaman tersebut sejak kebelakangan ini menunjukkan peningkatan.

Menurutnya, pada tahun lalu sebanyak RM7.2 juta berjaya dikutip hasil tindakan proaktif pihak pentadbiran malah sehingga 25 September tahun ini sebanyak RM4.8 juta bayaran balik pinjaman berkenaan diterima.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!