Tidak mengaku salah guna wang insentif Penjana PERKESO RM32,000

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menyalahguna wang insentif Penjana berjumlah RM32,000 di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth pada Rabu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menyalahguna wang insentif Penjana berjumlah RM32,000 di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth pada Rabu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menyalahguna wang insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana) berjumlah RM32,000.

Tertuduh, Koay Chin Eng berusia 62 tahun membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim, Zulhazmi Abdullah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth di sini pada Rabu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta milik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk dirinya iaitu wang sebanyak RM21,500 yang merupakan wang Bantuan Penjana Kerjaya 2.0.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah cawangan bank di Sungai Bakap pada 2 September 2021.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahguna harta milik PERKESO untuk dirinya sendiri iaitu wang sebanyak RM10,500 yang merupakan wang Bantuan Penjana Kerjaya 3.0.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah cawangan bank di Sungai Bakap pada 24 September 2022.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, Chin Eng didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Seri Ramli Yusuff dan Datuk Dzaamoddin Salleh.

Artikel Berkaitan:

Zulhazmi menetapkan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh.

Selain itu, Zulhazmi juga memerintahkan tertuduh agar menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri sebulan sekali di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berdekatan.

Kes ditangguh sehingga 8 November depan untuk sebutan semula kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!