Lelaki AS jalani hukuman suntikan maut selepas rayuan ditolak

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

WASHINGTON - Seorang lelaki yang disabitkan kesalahan membunuh telah dihukum mati dengan suntikan maut di Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, walaupun timbul persoalan mengenai kesalahannya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Marcellus Williams, 55, telah disabitkan pada 2001 kerana membunuh wartawan Felicia Gayle semasa rompakan di rumahnya pada 1998.

Pertubuhan bantuan Innocence Project berkata, negeri Missouri di Amerika Syarikat telah melaksanakan hukuman mati ke atas seorang yang tidak bersalah.

"Kisah Williams mencerminkan banyak kes lain yang terperangkap dalam sistem perundangan jenayah negara kita yang pincang,” kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan.

"...Williams mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya sehingga saat akhir. Sabitannya adalah berdasarkan keterangan dua saksi yang dibayar untuk memberi keterangan. Tiada bukti DNA yang mengaitkannya dengan jenayah itu.”

Mahkamah Agung AS menolak dua rayuan berasingan untuk menghentikan hukuman mati Williams manakala pejabat pendakwa raya mendesak agar hukumannya ditukar kepada penjara seumur hidup dan keluarga Gayle juga menentang pelaksanaan hukuman mati.

Menurut Pusat Maklumat Hukuman Mati, 16 orang telah dihukum mati di Amerika Syarikat setakat tahun ini.

Pada 2023, 24 hukuman mati telah dilaksanakan di negara itu. - Bernama-dpa

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!