Hujan lebat di Ishikawa, Jepun ragut 9 nyawa
TOKYO - Seorang wanita disahkan meninggal dunia pada Rabu selepas ditemukan berhampiran sungai di Wilayah Ishikawa, Jepun menjadikan jumlah korban akibat hujan lebat luar biasa meningkat kepada sembilan orang, lapor Xinhua yang memetik media tempatan.
Pihak polis masih meneruskan operasi mencari dua lagi mangsa yang hilang dan setakat jam 10 pagi waktu tempatan pada Rabu, terdapat enam lagi individu yang masih tidak dapat dikesan, menurut penyiar awam NHK.
Hujan lebat luar biasa melanda Ishikawa dari 21 hingga 22 September.
Banjir besar dan tanah runtuh telah menyebabkan kerosakan teruk selepas hujan lebat dengan pihak berkuasa menggesa penduduk agar terus berwaspada.
Sehingga petang Selasa, 46 lokasi di bandar Wajima, bandar Suzu dan bandar Noto masih terputus hubungan manakala 5,216 isi rumah mengalami gangguan bekalan air akibat gangguan bekalan elektrik dan kerosakan paip air, menurut laporan itu. - Bernama-Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!