AKSB beri tempoh sehingga 15 Oktober jelaskan hutang bil air
KOTA BHARU - Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mempergiatkan usaha menuntut hutang membabitkan pengguna yang bil airnya sudah dipotong.
Jabatan Korporat AKSB melalui kenyataan pada Rabu memaklumkan, senarai nama dan nombor akaun bil pengguna akan diserahkan kepada peguam untuk tindakan undang-undang jika mereka masih gagal menjelaskan hutang itu.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, Unit Penguatkuasaan AKSB akan membuat pemotongan di rumah dan premis yang masih aktif tetapi bil tertunggak melebihi tiga bulan.
"Bil akhir akan dikeluarkan dalam tempoh 45 hari dan jika pengguna masih gagal menjelaskan tunggakan, penolakan deposit ke atas baki tunggakan akan dibuat, menjadikan akaun tersebut sebagai tidak aktif dan berhutang," kata kenyataan itu.
Untuk rekod, sejumlah 3,316 akaun bil air dipotong bagi tahun 2022 dengan hutang sebanyak RM2.379 juta masih belum dijelaskan.
Bagi tahun 2023, sejumlah RM2.196 juta direkodkan dengan 3,954 akaun bil air masih lagi terhutang.
Dalam pada itu, AKSB memberitahu sudah melantik empat ejen kutipan hutang berlesen untuk tindakan susulan.
"AKSB memberi tempoh sehingga 15 Oktober ini bagi membolehkan pengguna menjelaskan hutang bil air mereka sebelum tindakan undang-undang diambil," katanya.
AKSB akan memaklumkan perkembangan lanjut situasi itu dari masa ke masa melalui laman sesawang www.airkelantan.com.my, aplikasi MyAKSB dan Facebook.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!