Masalah capaian internet di beberapa kampus IPTA akan diselesai segera

Fahmi bercakap pada sidang media mingguan Kabinet di Kementerian Komunikasi pada Rabu. Foto Bernama
Fahmi bercakap pada sidang media mingguan Kabinet di Kementerian Komunikasi pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Pendidikan Tinggi akan bekerjasama untuk segera menyelesaikan masalah capaian Internet di beberapa kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Jurucakap Kerajan Perpaduan, Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata, isu tersebut telah dibincangkan Mesyuarat Kabinet hari ini dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan ia diselesaikan segera, memandangkan semester sesi akademik baharu akan bermula tidak lama lagi.

Beliau berkata, penyelesaian isu berkenaan melibatkan infrastruktur jaringan Internet yang disediakan vendor penyedia perkhidmatan di kampus yang terlibat.

"Perkara ini telah ditegaskan dan insya-ALLAH, saya dan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (Menteri Pendidikan Tinggi) akan menguruskan dengan segera,” katanya pada sidang media mingguan pascamesyuarat Kabinet di sini pada Rabu.

Sementara itu, Fahmi berkata, MCMC hari ini telah membuat satu laporan polis berhubung satu akaun yang dipercayai menjual dadah secara terbuka di platform Tiktok, seperti yang tular baru-baru ini.

Beliau berkata, MCMC juga telah melaporkan perkara tersebut kepada pengendali Tiktok dan akaun tersebut serta kandungannya kini tidak boleh diakses di Malaysia.

Fahmi berkata, Tiktok diminta memberikan penjelasan mengapa akaun tersebut telah dibiarkan beroperasi dalam satu tempoh masa yang tidak diketahui, sedangkan ia menjual dadah secara terbuka dalam platform tersebut.

"Saya juga telah minta MCMC untuk meluaskan dan carian untuk mengenal pasti mana-mana pihak lain yang cuba menjual dadah seperti ini di platform bukan hanya dalam Tiktok, tapi juga platform (media sosial) yang lain,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!