GISBH: Empat beradik selamat bawah jagaan JKM

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Salbiah)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Salbiah)
A
A
A

IPOH - Empat adik-beradik yang diselamatkan polis dalam Op Global di Tapah, Sabtu lalu, kini berada di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, mangsa yang berusia enam hingga 11 tahun itu kini ditempatkan di institusi milik jabatan itu.

"Kesemua kanak-kanak yang terlibat kini berada dalam perlindungan dan penjagaan JKM yang mana segala hal ehwal kebajikan mereka dijaga dengan baik dan tertib.

"Mereka ditempatkan di institusi tempat selamat JKM sehingga selesai siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan langkah seterusnya akan diambil mengikut Akta Perlindungan Kanak-Kanak," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Media melaporkan polis menyelamatkan keempat-empat kanak-kanak itu dalam serbuan di sebuah rumah amal di Tapah dan siasatan mendapati mereka juga telah terpisah dengan ayah mereka sejak 2021.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, salah seorang kanak-kanak tersebut merupakan individu tular yang dirotan oleh ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Tambah Salbiah, kesemua mangsa berada dalam keadaan baik selepas menjalani saringan kesihatan daripada Jabatan Kesihatan.

"JKM ada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk memastikan kesihatan, kebajikan, pendidikan dan segala keperluan kanak-kanak itu terjaga.

Artikel Berkaitan:

"Saya ingin memberi jaminan bahawa kanak-kanak tersebut berada dalam perlindungan dan penjagaan yang sewajarnya. Kebajikan mereka kami jaga dengan baik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!