Penyakit misteri ragut dua nyawa, jangkiti lebih 500 di Afghanistan
KABUL - Sekurang-kurangnya dua maut manakala lebih 500 lagi dijangkiti penyakit yang belum dikenal pasti di wilayah Parwan, timur Afghanistan, lapor Xinhua.
Dalam tempoh empat hari, lebih 500 orang dijangkiti penyakit itu di kawasan Kafshan, daerah Shinwari iaitu kira-kira 80 kilometer di utara Kabul dan jumlah kes dilaporkan terus meningkat, kata jurucakap gabenor wilayah, Hikmatullah Shamim menerusi akaun media sosial X miliknya.
Daripada jumlah itu, 50 pesakit dilaporkan dalam keadaan kritikal, katanya.
Antara simptom bagi penyakit ini termasuk lemah dan lesu, sakit di tangan dan kaki, cirit-birit yang teruk serta demam panas.
Shamim berkata, pasukan kesihatan dihantar ke kawasan terbabit, manakala pesakit yang berada dalam keadaan kritikal dipindahkan ke hospital wilayah di Parwan dan hospital penyakit berjangkit di Kabul untuk mendapatkan rawatan.
Punca wabak penyakit masih belum dapat dipastikan. - Bernama-Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!