Isu GISBH: 'Sukar kalau tak tahu apa yang dicari' - Zaid Ibrahim

Zaid
Zaid
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung kesukaran pihaknya membongkar kegiatan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dipersoalkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohd Zaid Ibrahim.

Beliau mendakwa, isu mengenai pendedahan kumpulan GISBH tidak sukar dilakukan jika dapat mengenal pasti salah laku organisasi seperti yang berlaku dalam syarikat itu.

Mengambil contoh rumah kebajikan (negeri dan persekutuan), Zaid menekankan berkenaan kecukupan fasiliti, menyemak latar belakang pengendali rumah serta memeriksa peraturan sedia ada dan pendaftaran mereka.

“Kemudian, agak mudah untuk mengesan kanak-kanak yang telah dianiaya atau tidak dijaga kebajikan.

“Jika tidak maka pihak Menteri Besar perlu melakukan sesuatu berkenaan ini,” katanya menerusi hantaran di X pada Rabu.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri Selangor mengambil tindakan lebih jitu dalam menangani isu penyelewengan akidah membabitkan GISBH di negeri berkenaan.

Menteri Besar Selangor berkata, kerajaan negeri juga pasti akan bertindak secara lebih agresif terhadap kumpulan terbabit sekiranya mendapat maklumat berkaitan lebih awal.

Dalam pada itu, Zaid berkata, tidak sukar untuk pihak berkuasa memantau aktiviti perniagaan GISBH.

Artikel Berkaitan:

“Apa yang sukar sangat? Saya yakin Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan majlis perbandaran mempunyai maklumat terkini mengenai mereka.

“Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga akan tahu apa yang perlu dilakukan dari segi perniagaan,” tegasnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan amalan agama dan pegangan kepercayaan kumpulan berkenaan agak rumit untuk diulas.

“Adalah adil bagi pegawai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhati-hati dan tidak tergesa menuduh umat Islam sebagai menyimpang tanpa pemantauan yang teliti.

“Lagipun apa yang tergesa-gesa? Penyimpang ini biasanya tidak mempunyai banyak pengikut, hanya rakan dan ahli keluarga,” jelasnya.

Kata Zaid, komuniti dan ummah Islam yang besar tidak akan terancam hanya kerana beberapa pengikut yang salah faham.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!