Pesakit kanser buru impian jadi pemain badminton

Suzy (tiga dari kanan) bersama datuk dan adik beradiknya.
Suzy (tiga dari kanan) bersama datuk dan adik beradiknya.
A
A
A

KUALA PERLIS - Kegembiraan selepas sembuh daripada penyakit bahaya menjadi titik permulaan kepada seorang gadis untuk menyambung cita-cita menjadi seorang pemain badminton dan pegawai polis.

Quah Suzy, 17, berkata, penyakit kanser darah dihidapinya selama ini telah disahkan makin sembuh kira-kira 85 peratus dan dia berhutang nyawa dengan adik ketiganya Quah Serene, 13, yang sanggup menjalani pemindahan sel stem untuk dirinya pada tahun 2017.

Bermula dari pengorbanan adiknya itulah, detik kesembuhan mula dirasai Suzy dan semangatnya kembali untuk menggapai impian.

"Saya mula menghidap kanser darah sejak berusia 11 tahun. Ketika itu saya menjadi wakil negeri dalam sukan badminton tetapi terpaksa akur apabila nama saya digugurkan kerana perlu menjalani rawatan kemoterapi.

"Kemudian saya merasakan separuh nikmat kehidupan saya seperti musnah apabila rambut dan bulu kening saya luruh. Ketika dapat tahu saya sakit kanser, mama dan abah juga menangis," katanya ketika ditemui di rumah datuknya di Taman Berlian semalam.

 Quah Sew Yap sentiasa menemani Suzy menyiapkan kerja sekolah.
Quah Sew Yap sentiasa menemani Suzy menyiapkan kerja sekolah.

Selain berhasrat kembali menjadi pemain badminton, Suzy juga menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang pegawai polis bagi membalas jasa datuk dan neneknya yang menjaga dia dan empat adik beradiknya.

Artikel Berkaitan:

"Kami tinggal bersama datuk serta nenek kerana ibu yang merupakan rakyat Thailand balik ke Bangkok bersama adik bongsu dan menetap di sana selepas kematian ayah akibat kemalangan pada Januari tahun lalu," katanya.

Walaupun masih perlu menjalani rawatan susulan, perwatakan ceria dan kekuatan luar biasa ditunjukkan Suzy, boleh dijadikan aspirasi untuk pesakit kanser yang lain.

"Saya nak sangat berjaya supaya kejayaan saya nanti boleh menjadi pendorong untuk adik-adik mengikut langkah saya," katanya.

Suzy menguruskan neneknya yang terlantar sakit.
Suzy menguruskan neneknya yang terlantar sakit.

Menurut Suzy, biar pun hidup serba sederhana bersama datuk dan nenek yang terlantar sakit, dia sentiasa berfikiran positif dalam mengharungi kehidupannya yang sudah semakin sembuh daripada kanser.

Katanya, pada waktu cuti, dia akan membantu datuknya menguruskan nenek, mengemas rumah dan memasak.

Sementara itu datuk gadis tersebut, Quah Sew Yap, 65 yang merupakan pesara Kastam berkata, dia menggunakan wang pencen sebanyak RM2,200 sebulan untuk menyara empat cucu yang tinggal bersamanya itu.

"Dulu saya gunakan duit pencen hanya untuk saya dan isteri tetapi sejak menjaga cucu saya perlu membelanjakan wang ini untuk keperluan sekolah mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!