Saya tiada kawalan ke atas dana SRC International - Najib

Najib (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Bernama
Najib (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak memiliki sebarang kawalan ke atas pergerakan dan penggunaan RM3.6 bilion dana SRC International Sdn Bhd yang diperoleh syarikat pelaburan strategik itu dalam dua peringkat daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.

Memberi keterangan sebagai saksi defendan dalam saman AS$1.18 bilion SRC International terhadap beliau, bekas Perdana Menteri berusia 71 itu berkata, peranannya dalam syarikat tersebut hanyalah mengesahkan keputusan Lembaga Pengarah (BOD) syarikat berkenaan yang dianggap telah mengambil tindakan sewajarnya terlebih dahulu.

"Merujuk kepada tanggungjawab dan kuasa yang diberikan kepada saya dalam SRC, saya tidak mempunyai jawatan atau kuasa dalam struktur tadbir urus korporat bagi menjalankan sebarang transaksi SRC kerana ia adalah di bawah bidang kuasa BOD dan saya tidak pernah dimaklumkan atau melakukan pengesahan bebas terhadap pengeluaran dana SRC.

"Saya juga tidak memainkan peranan dalam peristiwa-peristiwa berkaitan peruntukan seterusnya kelulusan pelaburan yang didakwa dan berdasarkan jawatan saya, saya tidak memiliki obligasi fidusiari ke atas pelaburan yang dicadangkan serta dana yang digunakan bagi tujuan itu.

"Saya juga tidak mempunyai kuasa pengawasan atau kawalan ke atas pengeluaran dana itu," katanya.

Sebagai Menteri Kewangan ketika itu, Najib adalah pemegang saham tunggal SRC International melalui Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Najib juga berkata, adalah tidak masuk akal untuk membayangkan bahawa kedudukannya sebagai Perdana Menteri memberi beliau kuasa untuk mengambil dan memecat pengarah SRC International sekali gus membolehkan beliau mengawal BOD.

"Kuasa untuk mengambil dan memecat mana-mana pengarah biasanya terletak di tangan pemegang saham sesebuah syarikat dan apa yang saya faham tentang prinsip tadbir urus korporat, ini tidak menjejaskan tanggungjawab berkanun dan perundangan para pengarah untuk bertindak demi kepentingan syarikat.

Artikel Berkaitan:

"Seperti yang telah saya nyatakan, kuasa dalam SRC dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang terletak di tangan Perdana Menteri adalah perkara biasa apabila berurusan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tetapi ini bukan bermakna GLC secara membabi buta mematuhi apa yang diwakilkan secara lisan sebagai arahan daripada Perdana Menteri atau Menteri Kewangan atau mana-mana orang," katanya.

Di bawah pengurusan baharu, SRC memfailkan saman itu pada Mei 2021 dengan mendakwa Najib telah melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

SRC International sebelum ini menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu termasuk Ismee dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.

Syarikat itu memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialami syarikat itu akibat pelanggaran tugas dan amanah beliau serta menuntut beliau membayar pampasan sebanyak RM42 juta bagi kerugian itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!