Jangan terpedaya individu kumpul dana bantu anak-anak ahli GISBH

Tan Sri Razarudin Husain
Tan Sri Razarudin Husain
A
A
A

SHAH ALAM - Masyarakat diingatkan agar tidak terpedaya dengan usaha individu kononnya mengumpul dana membantu anak-anak ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang terkesan akibat tangkapan menerusi operasi dijalankan baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hantaran menerusi laman Facebook itu dikesan dimuat naik oleh seorang individu.

"Polis menjalankan siasatan lanjut berkaitan hantaran terbabit yang didakwa ingin membantu anak-anak ahli GISBH yang kononnya terkesan.

"Perkara ini dipercayai sebagai cubaan untuk mengambil kesempatan atas isu yang berlaku dan masyarakat dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan usaha itu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, masyarakat juga diseru agar menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan bagi kes ini.

"Tahanan yang dibebaskan dengan jaminan dinasihatkan agar tampil kepada pihak polis sekiranya memerlukan sokongan kebajikan.

"Polis sentiasa komited membawa individu bertanggungjawab ke muka pengadilan berlandaskan peruntukan undang-undang bagi memastikan ketenteraman masyarakat terpelihara," katanya.

Terdahulu, seramai 24 individu termasuk pimpinan utama GISBH melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan isteri disambung reman selama empat hari.

Artikel Berkaitan:

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali dan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman selepas permohonan berkenaan dibuat pihak polis.

Selain itu, 22 suspek lain merupakan barisan kepimpinan pengurusan syarikat berkenaan turut sama dikenakan perintah reman berkenaan

Kesemua 24 individu terbabit dianggarkan berusia 25 hingga 65 tahun itu sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 19 September lalu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 19 individu ditahan di empat unit kondominium di Jalan Imbi, Bukit Bintang dekat sini kira-kira pukul 5.40 pagi, 19 September lalu.

Lima individu lagi termasuk seorang anak kepada pimpinan utama GISB Holdings itu ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah kira-kira pukul 6 petang, 18 September lalu.

Siasatan berkaitan dijalankan di bawah Seksyen 32 (a) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!