GISBH tidak pernah bayar cukai - KPN
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapati GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) tidak pernah membayar cukai.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ini selari dengan siasatan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
"Ini dikesan hasil kolaborasi siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama LHDN yang mendapati GISBH tidak pernah membayar cukai yang berkaitan.
"PDRM menyeru masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan babit GISBH ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, kata Razarudin, berdasarkan kepada keterangan yang diperoleh, sebanyak 34 individu yang telah selesai menjalani tempoh reman akan ditangkap semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Katanya, seramai 127 orang tahanan pula telah dibebaskan dengan jaminan selepas selesai tempoh reman.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan reman empat hari dilanjutkan terhadap 24 ahli GISBH termasuk individu yang memegang jawatan tertingi dalam syarikat itu.
Reman bermula 26 hingga 29 September itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!