PGA rampas kasut seludup bernilai RM60,000

Kasut terpakai pelbagai jenama yang dirampas dalam Op Taring Wawasan Kelantan pada Selasa. Foto PGA Briged Tenggara
Kasut terpakai pelbagai jenama yang dirampas dalam Op Taring Wawasan Kelantan pada Selasa. Foto PGA Briged Tenggara
A
A
A

KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 300 kasut terpakai pelbagai jenama dianggar bernilai RM60,000 dalam Op Taring Wawasan Kelantan, semalam.

Komandernya, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rampasan dilakukan berdekatan pangkalan haram Apex dekat Lubok Gong, Pasir Mas, kira-kira 2 pagi.

Tiga guni besar berisi kasut terpakai tanpa dokumen pengimportan sah. Foto PGA Briged Tenggara
Tiga guni besar berisi kasut terpakai tanpa dokumen pengimportan sah. Foto PGA Briged Tenggara

Beliau berkata, anggota PGA menyerbu sebuah stor dipercayai tempat simpanan barangan seludup dari negara jiran dan menemukan tiga guni besar berisi kasut terpakai tanpa dokumen pengimportan sah.

"Kesemua kasut dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan kerana menerima permintaan tinggi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Nik Ros Azhan berkata, semasa serbuan tiada individu berada di kawasan stor dan barangan terbabit dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!