3,517 KIR mangsa banjir di Kedah dijamin dapat bantuan - MB

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah memberi jaminan 3,517 ketua isi rumah (KIR) mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) akan mendapat bantuan sebanyak RM1,000 seperti yang dijanjikan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bantuan itu tetap akan disalurkan walaupun mangsa telah pulang ke rumah.

Katanya, sehingga kini sebahagian bantuan itu sudah diserahkan kepada KIR di PPS oleh pegawai daerah manakala selebihnya akan diserahkan menerusi kaedah yang ditetapkan.

"Saya tengok ada keluarga yang enggan balik ke rumah masing-masing sebab risau tak dapat bantuan.

"Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM3.5 juta untuk bantuan tersebut, kalau PPS dah tutup pegawai daerah akan pergi cari di rumah sebab semua data dan maklumat tentang penghuni PPS ada di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah masing masing," katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Menurutnya, sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) seperti yang dilakukan sebelum ini.

Sementara itu, mengenai bencana ribut, beliau berkata sebanyak 700 buah rumah di negeri ini rosak dan daerah Baling mencatatkan jumlah yang tertinggi diikuti Sik.

"Menerusi mesyuarat diadakan, pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bersetuju untuk memperbaiki rumah yang terjejas di bawah nilai RM15,000.

Artikel Berkaitan:

"Bagi mangsa banjir yang terjejas namun tidak berpindah ke PPS atau rumah yang rosak akibat ribut, mereka masih boleh memohon bantuan untuk memperbaiki kediaman, namun perlu membuat laporan polis dan menyertakan bukti masing-masing terlebih dahulu," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, bagi kawasan pertanian, jumlah keseluruhan kawasan yang terjejas akibat banjir adalah 2,986 hektar melibatkan 999 petani.

"Anggaran kerugian keseluruhan kawasan pertanian termasuk padi lebih RM10 juta. Anggaran kerugian kerosakan padi sahaja adalah RM8.2 juta.

"Selebihnya agromakanan lain seperti cili dan cendawan, infrastruktur ladang dan jalan-jalan," katanya.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di Kedah berkurangan kepada 2,942 orang daripada 939 keluarga setakat 4 petang pada Rabu berbanding 5,454 orang daripada 1,745 keluarga pagi Rabu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!