Helikopter bawa empat petugas KKM mendarat cemas di sungai

Tangkap layar menunjukkan kedudukan helikopter yang melakukan pendaratan kecemasan berhampiran sungai di pedalaman Penampang. Foto ihsan Sabah Air
Tangkap layar menunjukkan kedudukan helikopter yang melakukan pendaratan kecemasan berhampiran sungai di pedalaman Penampang. Foto ihsan Sabah Air
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebuah helikopter jenis Bell 206B Jet Ranger milik Layang Layang Aerospace Sdn Bhd yang dinaiki lima individu termasuk empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan pendaratan cemas di sebuah sungai terpencil di Kampung Buayan, Penampang, dekat sini, tengah hari Rabu.

Pengerusi Sabah Air Aviations, Datuk Kenny Chua berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika pesawat terbabit sedang dalam penerbangan rutin untuk Perkhidmatan Doktor Udara di kawasan terpencil di Sabah

"Keempat-empat kakitangan KKM terbabit bersama juruterbang pesawat dilaporkan selamat berikutan tindakan segera juruterbang mendaratkan helikopter itu selepas mengesan isyarat amaran dalam sistem pesawat.

"Selepas mendarat dengan selamat, juruterbang membuat panggilan kecemasan bagi memaklumkan situasi sebelum sebuah helikopter Sabah Air Aviation yang dalam misi perubatan ke Tawau menerima panggilan berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Rabu.

Beliau berkat, juruterbang helikopter Sabah Air itu kemudian menghantar mesej ke ibu pejabat syarikat penerbangan itu di Tanjung Aru sebelum sebuah helikopter lain bersama seorang jurutera dan dua juruteknik dihantar kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Beliau berkata, pasukan yang tiba ke lokasi helikopter terkandas itu berjaya membaiki pesawat terbabit di Kampung Buayan, Penampang dan kedua-dua helikopter berjaya terbang semula ke Tanjung Aru bersama kakitangan KKM pada 2 petang tadi.

Bagaimanapun, katanya disebabkan ruang helikopter dan bawaan muatan yang terhad, jurutera dan dua juruteknik yang dihantar ke lokasi terpaksa ditinggalkan sementara di Kampung Buayan.

"Sabah Air dan Layang Layang Aerospace akan membuat penilaian situasi sebelum kembali untuk mengambil jurutera dan juruteknik terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan kawasan berhutan di Buayan, ia agak mencabar untuk menentukan lokasi yang tepat terutama jika ada kabus dan berawan, tetapi kita akan bawa mereka balik sejurus situasi mengizinkan," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!