'Hubungan dua beradik baik, tak pernah bergaduh'

Nurhidayah yang merupakan anak saudara mangsa bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada Rabu.
Nurhidayah yang merupakan anak saudara mangsa bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Lelaki yang maut dipercayai dibunuh dan dibakar adik kandung dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Muhibbah 2 dekat Sitiawan pada Rabu mempunyai hubungan yang baik sesama keluarga.

Anak saudara, Nurhidayah Azahari, 23, berkata, kedua-dua bapa saudaranya yang tinggal bersama di kediaman itu juga tidak pernah dilihat berselisih faham atau bergaduh.

"Kami pun tak tahu kenapa dia (suspek) bertindak begitu, tiba-tiba sahaja agresif dan bersikap baran sedangkan selama ini, mereka baik-baik sahaja, tak ada masalah.

"Malam tadi (Selasa) semasa kami sekeluarga keluar makan, dia nampak biasa sahaja," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Rabu.

Dalam kejadian sekitar jam 2.40 pagi itu, mangsa Muhammad Khairul Ridzuan Muhamad Taib, 46, ditemui tertiarap dalam keadaan rentung di bahagian ruang tamu rumah, manakala tujuh ahli keluarga lain berjaya menyelamatkan diri.

Ahli keluarga yang menunggu proses bedah siasat dijalankan ke atas mangsa di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
Ahli keluarga yang menunggu proses bedah siasat dijalankan ke atas mangsa di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Siasatan awal polis mendapati, mangsa berkemungkinan dibunuh sebelum kediaman itu dibakar oleh suspek yang merupakan adik lelaki mangsa.

Lelaki berusia 39 tahun terbabit telah ditahan polis bagi siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel Berkaitan:

Nurhidayah berkata, suspek sebelum ini memang pernah menerima rawatan psikiatri dan memerlukan pengambilan ubat.

"Cuma sejak kebelakangan ini dia dah tak nak makan ubat, saya pun kurang pasti mungkin dia jadi begitu kerana tidak makan ubat," katanya.

Beliau memaklumkan, semasa kejadian berlaku, mereka sama sekali tidak menyangka bahawa mangsa sedang tidur di ruang tamu berkenaan.

Jelasnya, keadaan ketika itu api marak dan dia bersama dua adik, ibu, nenek dan ibu saudara hanya sempat melarikan diri melalui pintu belakang.

"Saya ingat dia juga sudah keluar (selamatkan diri), hanya apabila bomba maklumkan bahawa ada mangsa, barulah kami tahu yang arwah sebenarnya berada dalam rumah," katanya.

Dalam perkembangan sama, Nurhidayah berkata, ahli keluarga masih terkejut dengan kejadian itu terutama ibunya yang trauma dan tidak dapat menerima perlakuan menimpa adik lelakinya.

Katanya, selama ini arwah banyak membantu perniagaan keluarga mereka, malah ringan tulang dalam menguruskan hal-hal rumah.

"Seminggu dua ini pak cik banyak diam, tak macam selalu. Dia juga buat kerja-kerja mengemas sampai rumah ini nampak bersih.

"Sejujurnya kami sangat sedih atas kejadian yang berlaku. Kami serahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan," katanya yang turut memberitahu mereka akan tinggal sementara di rumah saudara berhampiran.

Jenazah Allahyarham dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serdang, Sitiawan sebaik proses bedah siasat selesai.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!