GISBH: 34 individu selesai reman akan ditangkap semula mengikut SOSMA

Tan Sri Razarudin Husain. Foto Bernama
Tan Sri Razarudin Husain. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seramai 34 individu yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan telah tamat menjalani tempoh reman akan ditangkap semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tempoh reman ke atas semua 34 individu itu berakhir hari ini.

"Seramai 127 orang lagi dibebaskan dengan jaminan setelah selesai tempoh reman dan kita menasihatkan mereka untuk tampil kepada polis sekiranya memerlukan sokongan kebajikan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Razarudin berkata, polis juga telah memperoleh lanjutan reman terhadap 24 ahli GISBH, termasuk pengurusan tertinggi organisasi itu, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 selama empat hari bermula esok.

Selain itu, Razarudin berkata, hasil siasatan mendapati kaedah perniagaan GISBH dipermudahkan melalui pegangan terhadap Aurad Muhammadiah versi organisasi tersebut, yang berlandaskan ketaksuban dan mendewakan pemimpin, sehingga memutarbelitkan ajaran Islam yang sebenar

Selain itu, Razarudin berkata, seorang ahli GISBH akan didakwa di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor, esok kerana mendera kanak-kanak di bawah jagaan sebuah rumah amal yang dikaitkan dengan syarikat itu.

"Lelaki yang terlibat dalam video tular mengenai penderaan kanak-kanak di rumah amal berkenaan akan dituduh esok," katanya ringkas kepada Bernama.

Difahamkan, pendakwaan akan dilakukan di mahkamah tersebut pada pukul 8:45 pagi esok mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel Berkaitan:

Pada 16 September lalu, polis memulakan siasatan selepas tular satu rakaman video berdurasi satu minit sembilan saat yang memaparkan kanak-kanak lelaki terbabit dilihat mengerang kesakitan dipercayai akibat dada dan lehernya ditekan oleh suspek menggunakan lutut.

Polis juga telah mengesan kanak-kanak lelaki terbabit dalam kalangan mangsa yang diselamatkan menerusi Op Global. Siasatan mendapati kanak-kanak itu telah dipisahkan daripada bapanya sejak 2021. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!