Polis tahan enam individu terlibat pergaduhan

Tangkap layar rakaman video pergaduhan berkenaan.
Tangkap layar rakaman video pergaduhan berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan enam individu yang disyaki terlibat dalam pergaduhan di sebuah pangsapuri di Jalan Bayu Puteri di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua tiga lelaki dan tiga wanita berusia 28 hingga 32 tahun itu ditahan hasil satu laporan polis daripada seorang wanita warga tempatan berusia 28 tahun pada jam 1.15 petang pada hari yang sama.

Menurutnya, hasil maklumat tersebut sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan telah membuat tangkapan ke atas enam individu terbabit.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca akibat rasa tidak puas hati dan perselisihan faham yang berlaku antara pasangan kekasih yang masing-masing berusia 32 dan 30 tahun mahu berjumpa dengan anak perempuan mereka yang berusia dua tahun.

"Ekoran itu suspek lelaki berusia 32 tahun dipercayai telah membuat provokasi sehingga berlaku pergaduhan,” katanya.

Raub berkata, hasil semakan, lima suspek tidak memiliki rekod lampau kes jenayah sementara seorang daripada mereka memiliki satu rekod lampau kes penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun katanya, hasil saringan ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis juga sedang menjalankan usaha mengesan beberapa suspek lagi dipercayai terlibat dalam kes berkenaan bagi siasatan lanjut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!