Kerajaan perlu wujudkan subjek integriti untuk sifar rasuah
SHAH ALAM - Kerajaan digesa mewujudkan subjek integriti dalam silibus pendidikan bermula di peringkat pelajar sekolah rendah hingga universiti serta kursus berkaitan setiap bulan dalam bidang pekerjaan.
Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, tiada jalan pintas untuk mengatasi isu rasuah dalam kalangan rakyat Malaysia mahupun pihak berkuasa.
“Realitinya rasuah sukar dikurangkan sekiranya tidak ada usaha di peringkat awal untuk banteras. Jika dibiarkan lebih lama ia akan menjadi satu barah dalam sesebuah negara.
“Kita harap jika wujudnya subjek berkenaan ia dapat mengurangkan masalah itu. Ini sangat penting dan kerajaan tidak boleh lari daripada tanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pemilik syarikat aksesori telefon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana memberi suapan kepada penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sebanyak RM3,000, Januari lalu.
Tertuduh, Tan Poh Wey, 41, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Dalam pada itu, Nor Halmey tidak menafikan kelemahan integriti dalam sesebuah organisasi menjadi penyumbang terbesar kepada masalah sogokan dalam negara.
“Kita tidak ada kawalan dari segi integriti dan juga pendidikan rasuah itu sendiri, hanya disebabkan kemahuan hidup untuk mengejar kemodenan negara, sesetengah pihak gagal mengikuti cara betul.
“Sebaiknya kita harus mengurangkan rasuah dan tingkatkan integriti serta menitikberatkan akhlak dan moral kehidupan,” jelas beliau.
Tambahnya, meniru perbuatan atau mendapat ‘sokongan’ pihak atasan mendorong pekerja bawahan melakukan suapan untuk mencari kekayaan pintas.
“Bila nampak orang atasan lakukan perkara terkutuk itu, mereka akan hilang hormat kemudiannya akan turut melakukan hal yang sama.
“Apa yang difikir ialah tiada siapa yang boleh membuat aduan kerana masing-masing melakukan kesalahan. Jadi semua akan tutup mata, asalkan mereka capai apa yang mereka inginkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!